Kiri kanan musuh menyerang, tetapi pemimpin UMNO degil, tidak akan mengalah - Zahid Hamidi

Firdaus Azil
Mac 7, 2021 15:29 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha untuk menjatuhkan UMNO secara keseluruhan telah bermula sejak dua tahun lepas, namun, masih tidak berjaya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui, usaha untuk memulihkan semula parti itu selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bukan satu kerja yang mudah.
Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, parti yang beliau terajui sejak 2018 itu, diserang dari kesemua arah, termasuk musuh yang nyata dan tidak nyata.
Bagaimanapun, jelas beliau lagi, usaha untuk menjatuhkan UMNO secara keseluruhan sejak dua tahun lalu, masih tidak berjaya.
“Usaha itu tidak pernah berjaya kerana kedegilan pemimpin dan ahlinya. Untuk itu, UMNO mahu dalam kawalan mereka (musuh politik) pula selepas riwayatnya tidak mampu ditamatkan. Menggunakan broker bertaraf jurucakap dan 'claim' merekalah penyatuan ummah.
"Ironinya dasar penyatuan ummah perlu berlandaskan kepada kejujuran dan keikhlasan. Bukan untuk menguasai supaya terus berkuasa. Bukan juga untuk kepentingan si polan dan si polan. Andai berjaya, jenama UMNO boleh dipergunakan. Jutaan ahli UMNO boleh 'diremote' dan dikudakan,” katanya lagi.
Hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi tumpuan media sejak beberapa hari lepas apabila kedua-dua parti Melayu itu telah membuat keputusan untuk menghentikan kerjasama politik sewaktu PRU akan datang.
Sebelum itu, hubungan kedua-dua parti berkenaan juga sudah tidak begitu mesra, rentetan episod perubahan kepimpinan di peringkat negeri-negeri serta sewaktu sesi perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, tahun lepas.
Ia juga diburukkan lagi dengan dakwaan bagaimana Bersatu dikatakan cuba memancing sokongan lebih ramai Ahli Parlimen dari parti lain, bagi membolehkan parti pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mempunyai bilangan yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Pas selaku komponen Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional masih berharap agar UMNO dan Bersatu itu dapat meneruskan hubungan strategik demi kestabilan politik negara.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO mengambil pendekatan untuk memastikan kedudukan ‘musuh’ politiknya tidak begitu selesa dan terjamin.
“Adakah harus kita menyerah? Adakah perlu pasrah dan relakan sahaja cubaan 'acquisition' ini? Sedangkan UMNO parti milik rakyat, milik lebih tiga juta ahli dan jutaan penyokongnya. UMNO juga yang memayungi kaum-kaum lain secara adil sejak merdeka. Buktinya lihatlah sekeliling.
“Kerana enggan menggadaikan UMNO, pemimpinnya dipropagandakan mahu menyelamatkan diri daripada pendakwaan mahkamah. Sedangkan pemimpin UMNO 'kluster mahkamah' inilah yang berani dan setia memperjuangkan UMNO walau apa menimpa mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberi pandangan bagaimana beberapa pemimpin politik yang turut menghadapi kes mahkamah, akhirnya mengambil pendekatan mudah dengan cara melompat parti.
“Jika mahu lihat bagaimana kaedah menyelamatkan diri, boleh lihat katak yang kini selesa 'di seberang jalan'.
“Boleh juga lihat kepada burung belatuk yang sedang kekenyangan dapat dedak 'di belakang rumah,” katanya dalam nada menyindir.
#Zahid Hamidi #musuh politik #Presiden UMNO #Dewan Rakyat #PPBM #Muhyiddin Yassin #PAS #Perdana Menteri #pilihan raya umum #Belanjawan 2021 #politik #presiden
;