Khutbah Jumaat: Pilih pemimpin bertanggungjawab suatu kewajipan
Faida Rahim
November 18, 2022 15:11 MYT
November 18, 2022 15:11 MYT
KUALA LUMPUR: Mengundi adalah satu kewajipan bagi umat Islam untuk membentuk pemerintahan yang bertanggungjawab. Jika pemimpin dipilih tidak tepat dan tidak layak, maka kepentingan masyarakat dan negara tidak dapat diberi keutamaan sewajarnya.
Menurut khutbah oleh Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor hari ini bertajuk “Kewajipan mengundi dalam Pilihan Raya”, umat Islam mesti melaksanakan sistem perundangan dan permuafakatan yang menjamin kemakmuran rakyat dan negara. Pilihan raya adalah cara yang penting bagi memenuhi kewajipan ini.
Tambahnya, dalam sistem politik hari ini, bertepatan dengan konsep khalifah dan pilihan raya, syariat memberikan hak saksama kepada setiap rakyat memilih pemimpin mereka.
Sehubungan dengan itu, memilih pemimpin di dalam pilihan raya merupakan suatu kewajipan kepada setiap umat Islam.
Seorang pemimpin Islam juga wajib sentiasa berjuang membela rakyat, sentiasa mensejahterakan rakyat dan mengurus keperluan dan kehendak rakyat dengan berhemah dan berhikmah, adil dan saksama.
Pemimpin hendaklah menjadi pelindung dan pembela rakyat yang lemah dan sentiasa memimpin rakyat ke jalan kebenaran dan menegakkan syariat. Kezaliman pemimpin sangat berpotensi membinasakan rakyat.
Menurut khutbah itu lagi, pemimpin mestilah adil dan tidak fasiq, dan dipilih daripada orang yang mempunyai sejarah hidup dan akhlak yang baik. Mereka mestilah orang yang berilmu dan berpengetahuan tentang syariat Islam. Mereka mesti boleh memberi tauladan yang baik, dicontohi dan dihormati.
"Firman Allah SWT dalam Surah al-Shura ayat 38:...dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka...”. Disebabkan penyertaan setiap umat Islam dalam saf kepimpinan suatu yang tidak mungkin, maka dilaksanakan konsep perwakilan, iaitu memilih wakil di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat atau parlimen.
"Umat Islam adalah kumpulan majoriti di negara ini, di pundaknya adalah kuasa bagi menyerahkan kuasa politik kepada individu Islam atau golongan dalam masyarakat yang diyakini akan menjaga agama Islam dan umat Islam," menurut khutbah itu lagi.
Khutbah itu juga memetik beberapa nasihat syarak kepada para pemilih:
1. Pastikan wakil yang dipilih adalah calon yang bermanfaat bagi memelihara kesucian dan kedudukan agama Islam, hak umat Islam dan hak rakyat berbilang bangsa seluruhnya. Untuk itu umat Islam mesti mengangkat orang-orang yang berkelayakan, yang akan membuat ketetapan bagi kemaslahatan dan mengelakkan kerosakan, sebagaimana kaedah fiqh.
2. Pengundi wajib memilih orang yang memiliki keimanan kepada Allah, berilmu, berakhlak dan beramal soleh. Apatah lagi pengundian merupakan persaksian yang akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat. Firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 2“...dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata...”.
3. Tidak memilih calon yang mewakili parlimen dari kalangan orang Islam yang memiliki sifat melakukan maksiat secara terangan, memusuhi Allah, Rasul dan orang beriman. Menurut Islam ialah yang paling bertakwa dan mampu memikul tanggungjawab wakil dan suara rakyat, komitmen dengan kewajipan agama dan meninggalkan perkara-perkara haram dan syubhah. Yang kedua, memilih orang yang paling ringan bahayanya di antara dua orang yang berbahaya, sesuai dengan Kaedah fiqh yang menegaskan:
"Apabila bertembungnya dua mafsadah (kerosakan), maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.” Kaedah ketiga: Seorang pengundi tidak boleh mengubah pilihannya daripada memilih calon yang lebih layak kepada calon yang kurang layak dengan dorongan fanatisme, hubungan keluarga atau kepentingan tertentu. Sekiranya ini dilakukan, bererti dia mengkhianati Allah dan Rasul SAW".