Khir Toyo nasihat Dr Mahathir

Sinar Harian
November 14, 2018 11:45 MYT
MOHAMAD KHIR: Hingga hari ini, tiada perkara baharu yang PH lakukan kecuali mengulangi polisi lama dengan jenama baharu. - Gambar fail
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan supaya berhati-hati dengan orang sekelilingnya yang dinilai tidak mampu memberikan yang terbaik dalam kerajaan semenjak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN).
Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa, Dr Mahathir dikelilingi menteri yang hanya hebat di mulut tetapi gagal dalam melaksanakan sebarang tindakan.
Malah katanya, cadangan dan buah fikiran pegawai kerajaan untuk menambah baik sesuatu dasar baharu kerajaan, ditolak mentah-mentah oleh menteri.
“Pak menteri yang hebat di mulut tetapi kosong tindakan. Cakap lain buat lain. Hasilnya haru biru. Kemudian pegawai dipersalahkan. Pak menteri cuci mulut, kaki dan tangan.
“Bila pegawai susun cadangan dan dasar baharu, pak menteri tolak mentah-mentah. Kadang-kadang tak baca pun.
"Yang keluar dari mulut mereka ini polisi kerajaan lama dan ‘kami PH ada cara kami untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat’.
"Natijahnya, hingga ke hari ini tiada perkara baharu yang mereka lakukan kecuali mengulangi polisi lama dengan jenama baharu,” katanya di Facebooknya pada Selasa.
Sebab itu, menurut Mohamad Khir, Dr Mahathir perlu waspada kerana apa yang berlaku ketika ini dalam pentadbirannya digambarkan seperti lebih lalang daripada padi.
“Dr Mahathir, waspadalah apa yang ada di sekeliling. Hari ini lebih banyak lalang dari padi. Depan mereka, bercakap petah menyalahkan orang lain bagai lalang tegak tinggi lakunya.
"Kerana mereka tak mampu jadi padi, maka padilah dipersalahkan. Mengapa ada padi di bendang sedang lalang tumbuh merata?” katanya.
Mohamad Khir berkata, Dr Mahathir juga harus menyedari bahawa kebanyakan daripada kakitangan kerajaan khususnya, mengharapkan kehebatan Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri keempat dapat diterapkan pada ketika ini.
Bagaimanapun apa yang diharapkan oleh mereka menurut Mohamad Khir, tidak menjadi kenyataan di mana Dr Mahathir pada hari ini bukanlah individu sama ketika menerajui BN.
“Sebenarnya sejak PH menjadi kerajaan dan Dr Mahathir diangkat semula menjadi Perdana Menteri, mereka rindu dengan kepimpinan Dr Mahathir yang mereka kenal dulu iaitu dasar Bersih, Cekap, Amanah dan penerangan nilai-nilai Islam serta dasar Pandang ke Timur menjadikan mereka cukup taksub dan sanggup bekerja lebih masa tanpa tuntutan elaun tambahan.
“Harapan menggunung itu kini hancur bila mereka sedar Dr Mahathir hari ini jauh sekali berbeza dengan Dr Mahathir dahulu,” katanya.
#Barisan Nasional #berhati-hati #dasar kerajaan #kerajaan #kosong tindakan #Mahathir Mohamad #menteri #Mohamad Khir Toyo #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #polisi lama
;