"Khianat istilah sesuai untuk Ahli Parlimen yang lompat parti" - Shahril Hamdan
Astro Awani
April 12, 2022 18:09 MYT
April 12, 2022 18:09 MYT
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti yang akan dibentangkan disebabkan terdapat Ahli-Ahli Parlimen yang meninggalkan parti asal mereka kerana kepentingan peribadi.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menjelaskan, apa yang dilakukan oleh Ahli-Ahli Parlimen ini tidak boleh diterima kerana tindakan itu dibuat bukan atas sebab kepentingan rakyat atau moral.
Bahhkan, tegas Shahril, istilah yang sesuai untuk tindakan yang dilakukan oleh Ahli-Ahli Parlimen tersebut adalah 'khianat.'
Katanya, berikutan berlaku perbuatan khianat oleh Ahli-Ahli Parlimen itu, maka RUU Antilompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
"Supaya tidak salah faham...ya, diakui dan diterima, kita hendak menjamin suatu undang-undang dan pindaan Perlembagaan yang adil dan bertahan untuk suatu ketika yang lama.
"Suatu perundangan yang mengambil kira semua sudut melangkaui konteks hari ini. Maka eloklah diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Khas. Kemudian bawalah ke Dewan kelak dengan draf lengkap yang boleh dijayakan bersama.
"Tetapi sambil itu sedang berlaku, usahlah pihak yang menjadi pemain utama dalam adegan lompat dalam penggal Parlimen ini cuba mengeliru atau menutup cerita sebenar kenapa RUU Anti Lompat Parti menjadi isu sekarang.
"Sedangkan sebelum ini selama 60 lebih tahun isu ini tidak berbangkit besar pun," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, Dewan Rakyat bersetuju untuk menyerahkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.
Usul kerajaan itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ia dipersetujui secara sebulat suara selepas diputuskan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.