Khazanah: Isu baju dalam hanya mahu malukan Azman Mokhtar, kata Khairy
Sinar Harian
Ogos 1, 2018 23:06 MYT
Ogos 1, 2018 23:06 MYT
Tindakan kerajaan memfokuskan kepada kerugian Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melalui sebuah syarikat borong atas talian yang menjual baju dalam wanita disifatkan hanyalah untuk memalukan ahli lembaga pengarah termasuk Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar.
Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam laman sosial facebooknya menyatakan, tumpuan kepada kerugian kecil berkenaan adalah bagi mengalih perhatian terhadap kejayaan di bawah legasi Azman.
Menurutnya, Khazanah berjaya mencatatkan peningkatan nilai aset dari RM65 bilion pada tahun 2004 kepada RM157 bilion pada penghujung tahun lalu.
“Nilai bersih yang diselaraskan (tanggungan liabiliti dan dividen yang dibayar kepada Kerajaan) adalah RM47 bilion pada tahun 2004. Pada akhir tahun lalu, nilai bersih yang diselaraskan adalah RM115.6 bilion.
“Inilah warisan yang ditinggalkan Azman menerusi kepimpinannya dalam Khazanah. Bukan kerugian yang lebih kecil yang telah ditonjolkan (kerajaan PH) untuk memburukkan reputasi Azman,” katanya.
Khairy berkata, selain warisan pertambahan aset Khazanah, Azman juga berjaya membuat perancangan legasi bagi menggantikannya dengan melantik dua timbalan menteri yang mana salah seorangnya mampu menyambung legasi kepimpinannya sebaik tamat kontrak.
Menurutnya, Azman sangat berharap agar kedua-dua yang dilantik itu akan dapat mengambil alih kepimpinan syarikat berkenaan bagi memastikan kesinambungan dalam melaksanakan mandat Khazanah sebagai dana kekayaan negara.
“Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, kejayaan Khazanah bermula dengan pelantikan Azman pada tahun 2004. Kita harus mengawasi sebarang cubaan memecahkan legasi kejayaan kepimpinan ini dan cubaan menggantikannya dengan kapitalisme kroni 1990-an.
“Khazanah telah menjadi entiti pemegang saham kepada pelabur strategik bagi mencari peluang serta merealisasikan pulangan yang lebih tinggi, selain mempromosikan ekonomi dan korporat Malaysia.
“Menurutnya, legasi Azman telah berjaya membentuk kumpulan sumber manusia pengurusan dan eksekutif yang berbakat,” katanya.
Dalam pada itu Khairy menegaskan, pembangkang akan memantau dengan teliti langkah yang diambil kerajaan PH dalam isu Khazanah berkenaan.
Menyentuh mengenai peletakan jawatan Azman serta ahli lembaga pengarah Khazanah, Khairy menegaskan, Azman serta barisan ahli lembaga pengarah tidak diberi peluang untuk bertemu serta berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih dua bulan.
Menurutnya, kegagalan untuk bertemu dengan Perdana Menteri telah menyebabkan Khazanah tidak dapat mengadakan mesyuarat.
“Mesej (tidak berpeluang bertemu PM) itu difahami oleh lembaga Khazanah dan akhirnya mereka menawarkan peletakan jawatan,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, berlaku keganjilan apabila lembaga baharu menggantikan Khazanah diumumkan melalui Pejabat Perdana Menteri.
“Khazanah hampir sepenuhnya di bawah pemilikan Menteri Kewangan Diperbadankan dan seharusnya sebarang pelantikan lembaga pengarah mesti ditandatangani dan diumumkan oleh Menteri Kewangan, bukan Perdana Menteri. Tetapi ini tidak dilakukan.
Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan pelantikan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Khazanah Nasional dan empat ahli lembaga pengarah lain.
Ia susulan peletakan jawatan sembilan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah termasuk Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar baru-baru ini.
Hari ini ketika ucapan ke atas Perbahasan Titah Diraja, di Parlimen, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali menyatakan Khazanah telah menyimpang daripada tujuan asal dan telah menuntut kerajaan hari ini meletakkan semula syarikat tersebut di landasan yang ditetapkan.
Menurutnya, Khazanah sebelum ini telah melabur sebanyak hampir AS$20 juta melalui sebuah syarikat borong atas talian yang menjual baju dalam wanita dan akhirnya pelaburan ini terpaksa dihapus kira.
#azman mokhtar
#Azmin Ali
#Khairy Jamaluddin
#Khazanah
#letak jawatan
#Mahathir Mohamad
#pelaburan
#Perdana Menteri
#UMNO