Khaled Nordin persoal kegagalan PN nyata pendirian tentang amalan lompat parti

Bernama
Mac 4, 2022 19:13 MYT
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata amalan itu adalah satu perkara yang mendatangkan kemarahan rakyat serta menjadi antara punca pertukaran kerajaan dan ketidakstabilan politik. - Gambar fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Kegagalan Perikatan Nasional (PN) mengemukakan sebarang tawaran untuk memastikan kestabilan politik terutama dalam isu amalan lompat parti dalam Ikrar PN Demi Bangsa Johor yang dilancarkan beberapa hari lepas, dipersoal oleh Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata amalan itu adalah satu perkara yang mendatangkan kemarahan rakyat serta menjadi antara punca pertukaran kerajaan dan ketidakstabilan politik.
"Ia sangat berbeza dengan BN yang menyatakan dengan jelas di dalam manifestonya untuk memerangi amalan lompat parti. BN nekad untuk mengusahakan Enakmen Anti Lompat parti.
"Jadi, apakah pendirian PN terhadap mereka yang melompat parti? Apakah cadangan dan strategi PN untuk menghentikan amalan tidak beretika ini?" menurutnya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata cadangan mewujudkan kestabilan politik menerusi pengenalan undang-undang antilompat parti berkemungkinan tidak menarik bagi PN.
Mohamed Khaled berkata mungkin parti itu sememangnya merancang untuk terus 'memancing' Ahli Dewan Undangan Negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
"Tabiat memancing memang sukar dibuang," kata Naib Presiden UMNO itu.
BN dan PN bersaing hebat dalam PRN Johor kali ini dengan kedua-dua parti mengumumkan meletak calon di kesemua 56 kerusi yang dipertandingkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian untuk PRN Johor dan 8 Mac bagi pengundian awal.
-- BERNAMA
#lompat parti #Khaled Nordin #PN #Perikatan Nasional #PRN Johor #Johor Memilih #pilihan raya negeri #UMNO #BN #Barisan Nasional
;