Khairy pelik, persoal 'what happened to you, Mat Hasan?'
Hasimi Muhamad
Januari 14, 2023 14:54 MYT
Januari 14, 2023 14:54 MYT
KUALA LUMPUR: Usul tambahan agar dua jawatan tertinggi dalam UMNO tidak dipertandingkan pada Pemilihan UMNO akan datang sememangnya sudah dijangka, kata Khairy Jamaluddin.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu bagaimanapun berkata beliau agak 'pelik' kerana usul berkenaan dibawa oleh Perwakilan Negeri Sembilan, yang juga UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Samsudin.
"Orang Rembau ini kenal siapa Shukri Samsudin ini, dan saya nampak agak pelik yang Rembau membawa usul ini.
"Penambahan usul yang dia bawa ialah supaya tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. Pelik sebab Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) adalah Ketua Bahagian UMNO Rembau.
"Kalau nak bawa usul penambahan pun 'cover' sikit. What happened to you, Mat Hasan?," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di platform sosial TikTok pada Sabtu.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menambah, usul tambahan tersebut telah menerima reaksi negatif dalam kalangan beberapa pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.
"Jadi, usul ini sedang dibahaskan tetapi mendapat tentangan yang hebat daripada beberapa pembahas dari Wilayah Persekutuan dan Johor, yang masih berani untuk menghormati kehendak perwakilan supaya demokrasi dapat djalankan seperti biasa di dalam parti UMNO.
"Banyak juga perwakilan yang 'boo' sewaktu dia membuat penambahan pada saat-saat akhir kepada usul nombor jawatan nombor satu dan dua tiada pertandingan," katanya.
Ketika ini, isu Pemilihan UMNO menjadi tumpuan ramai selepas wujud cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam Parti Melayu terbesar itu tidak dicabar.
Ia sekali gus memberi laluan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad (Timbalan Presiden) mengekalkan jawatan berkenaan.
Ahmad Zahid memenangi jawatan Presiden untuk tempoh 2018-2021 pada Pemilihan UMNO 2018.
Beliau menewaskan empat pencabarnya termasuk Khairy dan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, Khairy (51 undi), manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mendapat 23 undi.
Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan pula menang dengan 75 undi menewaskan bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bagi saingan jawatan Timbalan Presiden.