Khairy nafi dakwaan Pemuda UMNO mahu jatuhkan presiden parti

Bernama
April 25, 2015 15:39 MYT
KHAIRY: Dakwaan itu adalah rekaan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengadu domba terhadap pemimpin UMNO. - Gambar Fail
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menafikan wujud gerakan dalam pergerakan itu yang mahu menjatuhkan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, dan menegaskan dakwaan itu bertujuan untuk melaga-lagakan pemimpin UMNO.
Beliau berkata dakwaan itu adalah rekaan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengadu domba terhadap pemimpin UMNO.
"Ada usaha pecahkan perpaduan antara pemimpin UMNO terutama antara saya dan presiden UMNO. Saya lihat ini usaha lagakan presiden parti dan Pemuda UMNO terutama saya sebagai ketua.
"Gerakan ini tidak wujud. Ia telah disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan (Tengku) Mansor," katanya kepada pemberita ketika ditemui sewaktu proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara di sini hari ini.
BACA: Tiada perbincangan untuk jatuhkan Najib - Exco Pemuda UMNO
Baru-baru ini sebuah portal berita menyiarkan laporan yang mendakwa lima pemimpin Pemuda UMNO pusat mengadakan mesyuarat dengan Pemuda UMNO Johor di Rompin, Pahang untuk menjatuhkan Najib.
Khairy menegaskan beliau tidak bersikap "baling batu sembunyi tangan" dengan mengarahkan orang di bawahnya untuk membuat gerakan seperti itu.
"Saya takkan 'baling batu sembunyi tangan' dengan minta macai-macai saya buat gerakan dan sebagainya. Kalau tak setuju saya cakap, tak sokong saya cakap, tetapi saya sokong presiden.
"Kalau nak buat sesuatu saya tak mintak orang saya, naib saya, exco buat kerja macam tu. Saya akan buat sendiri," katanya.
Katanya adalah sesuatu perkara yang biasa untuk pergerakan itu membincangkan isu nasional secara tertutup tetapi itu tidak bermakna mereka tidak menyokong presiden.
"Apa salahnya bincang (isu nasional). Yang jadi masalah ada yang cuba berikan tafsiran berbeza dengan apa yang berlaku dalam mesyuarat. Saya dah check (semak) benda tu tak berlaku (gerakan berkenaan)," katanya.
Ditanya sama ada beliau dan Pemuda UMNO akan mengambil tindakan terhadap portal berita itu, Khairy berkata tindakan melayan laporan-laporan di portal berita seperti itu hanya membuang masa.
"Yang penting penjelasan telah diberi. Presiden difahamkan dah terima penjelasan Pemuda. Saya beri sokongan kepada presiden, presiden beri kepercayaan pada saya," katanya.
#Adnan Mansor #Najib Razak #Permatang Pauh #PRK #UMNO
;