Khairy ikrar kembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO
Faiq Chong
Jun 20, 2018 17:06 MYT
Jun 20, 2018 17:06 MYT
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikrar untuk kembalikan UMNO sebagai parti yang mendapat kepercayaan dan sokongan daripada rakyat jika dicalonkan sebagai Presiden UMNO hari ini.
Menurutnya, UMNO mesti dilihat sebagai parti yang boleh menjalankan tugas sebgai pembangkang yang berwibawa dan membina semula keyakinan rakyat.
“Ini kerana supaya satu hari nanti UMNO juga dapat dilihat bukan sahaja menjadi pembangkang yang berwibawa, tetapi satu pilihan alternatif kepada kerajaan yang sedia ada.
“Itu ikrar saya kepada ahli UMNO untuk jadikan ia sebagai satu komitmen sepanjang hidup saya untuk kembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO, katanya pada pada sidang media calon Presiden UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Daganan Dunia Putra di ibu negara hari ini.
Khairy juga menjelaskan ia mestilah bermula daripada pemilihan kali ini yang akan dipilih oleh lebih daripada 100,000 perwakilan UMNO di setiap bahagian.
“Ini mestilah bermula dengan pilihan pemimpin-pemimpin yang akan menerajui parti UMNO.
“Saya mahu para perwakilan di setiap bahagian untuk mengundi berdasarkan kepada suara hati atau kesedaran mereka kepada kepercayaan mereka untuk kembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.
“Kita bukan hanya dinilai oleh ahli UMNO sendiri dalam pemilihan kali ini, tetapi rakyat juga ingin melihat sama ada UMNO berubah atau tidak.
“Rakyat juga ingin melihat sama ada UMNO dapat membawa satu pembaharuan dan perubahan yang besar ataupun tidak,” tambahnya.
Khairy juga turut menjelaskan bahawa beliau telah merangka berkenaan dengan penstrukturan semula yang diperlukan untuk kita kembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO.
Beliau akan mengutarakan beberapa idea lagi untuk dijadikan sebagai manifestonya dalam tempoh 10 hari, bermula hari ini.
Ahad lalu, Khairy menawarkan diri bertanding untuk kerusi Presiden UMNO bagi penggal 2018/21.
Ahli Parlimen Rembau berusia 42 tahun yang telah menjadi ahli UMNO sejak 17 Januari, 2000 itu bakal menentang Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.