Khairy bukan lagi ahli UMNO, hak dia ke mana pun - Ahmad Zahid
Hasimi Muhamad
Mei 18, 2023 12:52 MYT
Mei 18, 2023 12:52 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bebas untuk menyertai mana-mana parti, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Presiden UMNO itu, ini kerana Khairy bukan lagi ahli UMNO.
“Itu hak dia (Khairy) lah.. hak dia untuk ke mana pun. Dia bukan ahli UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 3 di ibu negara, hari ini.
Media semalam melaporkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti itu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, yang juga Presiden Bersatu mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu.
Ditanya sama ada UMNO akan membuat tawaran balas kepada bekas Pemuda UMNO itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak akan mendedahkan “strategi” parti Melayu tersebut.
“Saya tak kongsi strategi sebab kalau saya kongsikan strategi, ia tak lagi menjadi strategi,” tambah Ahmad Zahid.
Pada 28 Januari lalu, UMNO mengesahkan memecat Khairy bersama bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Setiausaha Agung UMNO ketika itu, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mereka dipecat disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ pula beberapa kali mengulangi pendirian untuk tidak akan merayu keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memecatnya.