Khairuddin dilucut jawatan Naib Ketua UMNO Bhg. Batu Kawan

Bernama
Februari 28, 2015 13:02 MYT
UMNO Pulau Pinang telah menerima salinan surat pelucutan jawatan Datuk Khairuddin Abu Hassan sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan.
UMNO Pulau Pinang telah menerima salinan surat pelucutan jawatan Datuk Khairuddin Abu Hassan sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan daripada ibu pejabat UMNO.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pelucutan jawatan itu adalah selaras dengan Perlembagaan UMNO dan peraturan-peraturan persidangan UMNO.
"Ia juga selaras dengan Perkara 9A(1)(d) Akta Pertubuhan 1966 yang menyatakan seorang bankrap yang belum dilepaskan (undischarge bankrupt) tidak boleh memegang sebarang jawatan di dalam pertubuhan.
"Beliau (Khairuddin) telah diisytiharkan sebagai seorang bankrap oleh mahkamah pada 24 Mei tahun lepas dan satu laporan mengenai kebankrapan dirinya telah dibuat ke ibu pejabat UMNO," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, Musa berkata Khairuddin masih kekal sebagai anggota UMNO dan boleh menghadiri persidangan tahunan di peringkat cawangan tempat beliau menjadi anggota.
#1MDB #Khairuddin Abu Hassan #lucut jawatan #UMNO
;