Khairuddin dakwa dasar PH tidak mesra Islam

Sinar Harian
Januari 30, 2022 12:50 MYT
Ada yang dalam Pakatan Harapan dilihat Islamis tetapi memperjuangkan pemikiran Islam yang liberal, kata Khairuddin. - Gambar SINAR HARIAN
SHAH ALAM: Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa dasar Pakatan Harapan (PH) tidak mesra Islam dan dipenuhi dengan pejuang ‘evangelis’.
Beliau mendakwa, ada yang dalam PH dilihat Islamis tetapi memperjuangkan pemikiran Islam yang liberal tanpa keterikatan pada hukum dan bersifat 'post islamisme' (pasca islamisme) yang mencabut akar umbi pemikiran gerakan Islam.
“Pas berhadapan dengan PH atas dasar prinsip perjuangan yang jelas.
“Berantakannya Pakatan Rakyat yang akhirnya melahirkan PH adalah atas asas pertembungan dengan dasar Islam yang dibawa oleh Pas sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama,” kata Khairuddin dalam hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Pakatan Rakyat sebelum ini ditubuhkan pada tahun 2008 hasil kerjasama DAP bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas tetapi ia kemudiannya dibubarkan pada tahun 2015.
Mohd Khairuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus menambah, perjuangan Pas adalah berprinsip dan jelas bersandarkan kepada panduan al-Quran, al-Hadis, Ijmak dan Qias yang tiada keraguan padanya.
Artikel asal di Sinar Harian boleh dibaca di sini.
#Pakatan Harapan #PH tidak mesra Islam #evangelis #Mohd Khairuddin Aman Razali
;