Khabar angin PRN di Perak hanya mimpi di siang hari
Shafiq Noordin
Ogos 29, 2018 16:08 MYT
Ogos 29, 2018 16:08 MYT
Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan desas-desus yang tersebar di media sosial kononnya bakal berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) di Perak tidak lama lagi hanya khabar angin.
Dakwaan yang tersebar itu juga disifatkan Mohammad Nizar sebagai ibarat mimpi di siang hari pihak pembangkang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak itu berkata, perkara tersebut tidak akan terjadi kerana kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (HP) ketika ini berada dalam keadaan kukuh dan rakyat juga gembira dengan kepimpinan sedia ada ini.
"Ini hanya satu bentuk khabar angin oleh pihak-pihak tertentu kerana mereka (pembangkang) merasakan kehilangan kuasa ini satu tragedi, satu kekecewaan yang teramat sangat jadi bagi melegakan rasa kekecewaan itu mereka sebarkan berita-berita begini.
"Namun hakikat sebenarnya, rakyat di Perak ini cukup gembira dengan kerajaan baru, mereka yang mengundi mahukan perubahan, saya sendiri boleh sahkan tidak wujud suasana yang akan membolehkan PRN berlaku di Perak," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.
Tambah beliau, kepimpinan PH di Perak ketika ini juga mendapat sokongan yang kuat daripada golongan kakitangan kerajaan negeri dan agensi-agensi dibawahnya.
"Kami sebagai satu pasukan beriltizam untuk memenuhi perkara-perkara yang banyak mengecewakan rakyat Perak sebelum ini.
"Kita komited untuk jadikan Perak ini sebagai antara negeri terbaik, kita akan kembalikan zaman kegemilangan negeri tercinta ini, itu fokus kita," ujar beliau.
#Amanah
#kerajaan
#Mohammad Nizar Jamaluddin
#Pakatan Harapan
#pelaburan
#pembangkang
#pilihan raya
#rakyat
#Timbalan Pengerusi Amanah Perak