Khabar angin ada pemimpin Bersatu akan sertai UMNO hanya perang psikologi - Hamzah
Fareez Azman
Februari 10, 2022 14:56 MYT
Februari 10, 2022 14:56 MYT
PUTRAJAYA: Khabar angin mendakwa ada pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyertai UMNO, hanya perang psikologi semata-mata.
Demikian tegas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung khabar angin itu.
Jelasnya yang juga Menteri Dalam Negeri, tujuan khabar angin itu hanya untuk kepentingan politik sesetengah pihak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
"Kalau khabar angin ini tak payah percaya, kalau surat layang lagi jangan percaya. Tetapi kalau diumum oleh orang yang betul-betul nak keluar itu, percayalah.
"Cerita pasal khabar angin ini (adalah) 'psywar' (perang psikologi) dia macam-macam.
"Psywar orang dalam politik adalah untuk kepentingan mereka yang berjuang untuk parti mereka," jelasnya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada Khamis.
Jelasnya, khabar angin berkenaan hanya untuk mengelirukan rakyat Johor menjelang pilihan raya.
"Jadi itu biasalah berlaku, mengapa nak berlaku sekarang apabila berlaku pilihan raya di negeri Johor? Hanya untuk memaklumkan rakyat Johor, 'engkau jangan percaya Bersatu tu, pemimpin dia pun nak balik ke UMNO'.
"Itulah cara psywar orang. Sebab itu sepatutnya dia tanya, apakah itu khabar angin atau psywar mereka?
"Jawapan saya oleh kerana itu rumors, maka bermakna tujuan mereka hanyalah sebagai psychological warfare, itu jawapannya," tegas Hamzah.
Sebelum ini, khabar angin di media sosial bertiup kencang mengenai dua pemimpin Bersatu yang berjawatan di peringkat pusat didakwa mahu kembali menyertai UMNO.