Keunggulan demokrasi mati lemas dalam DAP
Datuk M Periasamy
Julai 7, 2017 21:51 MYT
Julai 7, 2017 21:51 MYT
PEMIMPIN dan veteran DAP saban hari keluar parti di seluruh negara kerana mereka rasa kecewa dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan DAP.
Baru-baru ini lebih 700 ahli DAP daripada seluruh negara membuat aduan kepada pihak Pendaftar Persatuan (RoS) agar RoS mengambil tindakan tegas terhadap DAP kerana didakwa mereka dinafikan hak sebagai ahli menyertai mesyuarat perwakilan bagi memilih ahli jawatankuasa tertinggi parti.
Malah kepimpinan DAP didakwa memanipulasikan proses perkiraan kertas undi bagi menjamin kemenagan sesuatu pihak tertentu.
Walaupun pihak DAP mengadakan pemilihan CEC yang kedua untuk menutup kesalahan sebelumnya, sebahagian besar ahli DAP, hampir 865 cawangan DAP diseluruh negara, tidak menerima keputusan pemilihan tersebut. Lebih-lebih lagi menurut laporan media, pihak RoS pun masih belum dilaporkan terhadap keputusan pemilihan kedua.
Pada masa yang sama, baru-baru ini satu memorandum disediakan oleh para akademik daripada lebih dua puluh satu universiti tempatan mendesak Pendaftar Pertubuhan (RoS) memberi surat tunjuk sebab kepada DAP mengapa pendaftaran DAP tidak boleh dibatalkan kerana DAP berlaku pertentangan dengan syarat 2A (1) Akta Pertubuhan.
Menurut pihak pengadu kepada RoS, kepimpinan parti DAP didapati melarang ahli parti amalkan tanggungjawab dan hak mereka sebagai ahli parti.
Kepimpinan parti juga didakwa membelakangkan idealism dan nilai-nilai demokrasi dalam parti tetapi lebih menerapkan dasar kuku besi atau hegomani dalam menjamin dinasti Lim terus menguasai DAP.
Mereka turut mendakwa bahawa pihak kepimpinan DAP tidak peduli tentang ketidakpuasan sebahagian besar ahli DAP yang masih mempertikaikan kesahihan lantikan CEC semasa. Jadi, mereka mendakwa istilah demokrasi hanya tinggal sebagai hiasan atas nama parti sahaja.
Dengan episod ahli DAP semakin hari semakin ramai keluar parti, timbul pelbagai persoalan dalam kalangan aktivis politik, termasuk apakah pelantikan ahli jawatankuasa tertinggi (CEC) termasuk lantikan Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP sah dari sisi undang-undang parti dan RoS, apakah DAP mampu mempertahankan jumlah kerusi parlimen yang ditawan dalam PRU13 malah berpotensi menubuhkan kerajaan Persekutuan selepas PRU14 seperti diheboh-hebohkan dalam media sosial akhir-akhir ini?
Rekod keputusan pilihan raya umum menunjukkan DAP hanya menang 9 kerusi daripada sejumlah 104 kerusi pada kali pertama DAP bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun 1964 (PRU2).
Namun, jumlah kerusi yang dimenangi DAP naik dan turun pada setiap kali pilihan raya umum diadakan.
DAP memenangi 28 kerusi pada PRU12 dan 38 kerusi pada PRU13. Kerusi DAP di Parlimen meningkat secara mendadak, dua kali ganda, disebabkan oleh faktor kerjasama politik DAP dengan Pakatan Pembangkang (Pakatan Rakyat) yang disertai PAS.
Ini jelas menunjukkan bahawa sokongan hebat ahli PAS kepada calon DAP adalah faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kerusi DAP di Parlimen.
Jadi, dengan terputusnya kerjasama politik atau tahaluf siyasi antara DAP dengan PAS, maka DAP dijangka akan kehilangan undi ahli parti PAS yang menjadi punca kepada kemenangan besar DAP.
Memandangkan DAP masih menentang keras usaha PAS untuk memartabatkan Syiar Islam dan mahkamah Syariah, maka DAP dijangka akan hilang sokongan sebahagian besar pengundi Melayu yang sealiran dengan perjuangan PAS dalam meningkatkan status Islam di Malaysia.
Dalam pada itu, DAP juga dijangka akan hilang sokongan sebahagian besar penyokong setia Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mereka kurang puas hati dengan keputusan DAP menyertai Parti Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun M.
Dalam pada itu, sebahagian besar pengundi Melayu dan India di Pulau Pinang dijangka akan menolak DAP dalam PRU14 kerana mereka tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan Negeri diterajui Lim Guan Eng (DAP) yang didakwa gagal mengurus permasalahan sosio-ekonomi mereka, terutamanya kaum Bumiputera.
Kehilangan sokongan pengundi Melayu dan India terhadap DAP mendorong penganalisis politik membayangkan bahawa DAP akan hilang kerusi majoriti di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada PRU14.
Memandangkan dakwaan SPRM terhadap Lim Guan Eng melibatkan rasuah dan salah guna kuasa masih menghantui pemikiran penyokong DAP, maka tidaklah keterlaluan sekiranya membuat kesimpulan bahawa DAP cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kekalutan yang dilanda DAP kepada saman DOJ yang mengaitkan 1MDB.
DAP bimbang sekiranya perhatian rakyat terus fokus kepada kelemahan DAP, maka DAP akan hilang sokongan rakyat malah dijangka akan dilanda malapetaka dalam PRU14.
* Artikel dituis oleh Datuk M. Periasamy, Felo Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
** Kandungan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#DAP
#kerajaan
#Lim Guan Eng
#M Periasamy
#Pakatan Harapan
#Pakatan Rakyat
#pilihan raya
#politik
#PRU14
#rakyat
#Rasuah