Ketua Wanita PKR 'lesap', ucapan penggulungan diganti naib ketua

Shuhada Abdul Kadir
Disember 8, 2019 12:39 MYT
Naib Ketua Wanita Keadilan Sangetha Jayakumar semasa ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini. - Foto BERNAMA
Kongres Nasional Keadilan ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini menyaksikan ucapan penggulungan sayap wanita parti itu tidak disampaikan oleh ketuanya, Haniza Mohamed Talha.
Malah, ucapan yang sepatutnya disampaikan selama 15 minit di hadapan presiden parti dan juga 880 perwakilan itu diganti dengan Naib Ketua Wanita PKR, Sangeetha Jayakumar.
Tanpa menyatakan sebab ketidakhadiran ketuanya, Sangeetha memulakan ucapan seperti biasa dan menekankan punca kepada ekonomi negara suram sepanjang 10 tahun adalah ekoran hanya 55 peratus sahaja wanita yang berkerja.
“Kalau kita dengar ucapan presiden yang mengatakan ekonomi negara suram sejak 10 tahun kebelakangan ini, saya ingin tegaskan salah satu puncanya ialah hanya 55 peratus wanita yang bekerja.
BACA: Azmin boikot majlis penutup Kongres Nasional Keadilan?
“Ini bermakna lagi 45 peratus tidak bekerja sekaligus tidak bantu jana ekonomi negara dan ini masalah besar di negara,” katanya ketika menyampai ucapan penggulungan sayap wanita di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, adalah menjadi keutamaan wanita PKR untuk meningkatkan angka pembuat dasar dalam merajaan di kalangan wanita.
“Kalau nak capai wanita dalam pembuat dasar negara, kita kena tingkatkan angka wanita bekerja dan itu menjadi keutamaan.
“Mengapa apabila kemasukan ke universiti jumlah wanita boleh mencecah 60 peratus? Tetapi kajian bank dunia (mendapati) wanita lepas (umur) 26 tahun (sudah) tidak bekerja kerana beban keluarga, jaga anak dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu mengikut jadual asal, selain ucapan penggulungan daripada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haniza turut dijadual menyampaikan ucapan penggulungan sebelum diakhiri ucapan Presiden sekali gus Kongres tahunan parti itu melabuhkan tirainya hari ni.
Selain Haniza, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta beberapa pimpinan yang menyokongnya termasuk Naib Presiden, Zuraida Kamarudin juga tidak kelihatan.
#Haniza Mohamed Talha #Ketua Wanita PKR #Kongres Nasional Keadilan #Kongres PKR 2019 #Naib Ketua Wanita PKR #Sangeetha Jayakumar #ucapan penggulungan
;