Ketua Polis Negara patut tangkap Azmin, kata setiausaha politik Anwar

Astro Awani
Julai 23, 2019 23:01 MYT
Farhash mempertikaikan penangkapannya sejurus dibebaskan dari tahanan reman. - Astro AWANI
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal, mempertikaikan penangkapannya berhubung penyebaran video intim yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Katanya, dia turut hairan dengan tindakan polis yang membuka kertas siasatan terhadapnya di bawah Seksyen 377 B, berkaitan melakukan hubungan seks luar tabii.
Menurutnya, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador sepatutnya mengambil tindakan terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bukan dirinya.
"Saya percaya dalam kes ini ada konspirasi politik. Dan konspirasinya adalah, menentang Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kalau Ketua Polis Negara ada kredibiliti, siasat dan tangkap Mohamed Azmin," katanya yang juga merupakan setiausaha politik Anwar.
Dia berkata demikian selepas dibebaskan dari tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
BACA: Video intim: Anwar terkejut Setiausaha Politiknya ditahan polis
BACA: Video intim: Farhash dan Haziq bebas reman
Farhash berkata, dia langsung tidak menyerupai Azmin dan mempersoalkan kenapa perlu dirinya yang ditahan sedangkan mereka boleh memanggil dan merakam kenyataannya.
Sementara itu, peguam kepada Haziq, Kenzin Goik berkata, polis bertindak secara profesional dalam siasatan ini.
"Sekiranya ada keperluan untuk panggil semula Haziq, kita akan beri kerjasama," katanya.
#Anwar Ibrahim #ertas siasatan #Farhash Wafa Salvador Rizal #Haziq #Haziq Abdullah Abdul Aziz #Ketua Polis Negara #konspirasi #Mohamed Azmin Ali #Pemuda PKR #PKR #polis #Polis Diraja Malaysia #politik #reman #seks luar tabii #setiausaha politik #tangkap #video intim
;