Ketua Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC menang tanpa bertanding

Bernama
Oktober 10, 2015 20:06 MYT
Pemilihan semula bagi semua jawatan itu diadakan atas arahan RoS yang memberikan tempoh sehingga akhir Oktober bagi melaksanakan semula proses pemilihan semula parti.
C. Sivarraajh dan M. Mohana masing-masing mempertahankan jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita MIC kebangsaan bagi penggal 2013-2016 setelah diumumkan menang tanpa bertanding hari ini.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Jawatankuasa Pemilihan Datuk S.S. Rajagopal selepas proses pencalonan selama dua jam di ibu pejabat parti itu di sini, ditutup 1 tengah hari.
Kedua-dua penyandang jawatan itu menang berikutan tiada sebarang pencalonan lain dikemukakan jawatan tersebut.
Pada pemilihan lepas yang diadakan pada 2013, Sivarraajh mengalahkan V. Mugilan dalam pertandingan satu lawan bagi penggal 2013-2016 yang menggantikan Datuk T. Mohan yang tidak pertahankan jawatannya.
Mohana pula menewaskan M. Vickneswari, selaku setiausaha Pergerakan Wanita, selepas Datin Komala Devi yang juga tidak mempertahankan jawatan tersebut.
Bagaimanapun, Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula selepas membatalkan pemilihan pada November 2013 berikutan terdapat penyelewengan dalam proses pemilihan itu.
Sementara itu, M. Uvaraj turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Putera bagi menggantikan penyandangnya K. Raven Kumar yang tidak mempertahankan jawatan itu manakala R. Gunasundari mengekalkan jawatan selaku Ketua Puteri parti itu yang juga menang tanpa bertanding.
Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam turut hadir pada penamaan calon tersebut.
Semua jawatankuasa bagi keempat-empat sayap itu juga tidak menyaksikan sebarang pertandingan kecuali bagi 35 perwakilan Pemuda kebangsaan yang akan dipilih pada 18 Okt ini.
Pemilihan semula bagi semua jawatan itu diadakan atas arahan RoS yang memberikan tempoh sehingga akhir Oktober bagi melaksanakan semula proses pemilihan semula parti.
Setakat ini, MIC selesai mengadakan pemilihan di peringkat cawangan pada Julai lalu manakala peringkat bahagian pada bulan lepas. Semasa pemilihan presiden pada 21 Ogos, Dr Subramaniam menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden bagi penggal 2013-2016.
Parti berusia 68 tahun itu mula dilanda krisis apabila wujud perbezaan pendapat antara bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Dr Subramaniam selepas RoS mengeluarkan notis pada 5 Dis tahun lepas yang mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan baharu bagi tiga kerusi naib presiden dan 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Sivarraajh ketika ditemui pemberita berkata beliau yakin sayap Pemuda parti itu akan lebih komited untuk membawa anggota MIC baharu di bawah kepimpinan Dr Subramaniam.
"Selain itu, kami akan turun padang untuk menjayakan visi dan misi parti sekali gus bekerja kuat untuk meraih sokongan masyarakat India dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.
Mohana pula berjanji akan terus berjuang bagi pihak wanita selain memperkasakan sokongan akar umbi terhadap parti kaum India itu.
Pencalonan untuk kesemua 23 jawatan bagi CWC pula dijadualkan pada 25 Okt dan pemilihan semula akan diadakan pada 6 Nov, diikuti mesyuarat agung tahunan pada hari berikutnya, yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
#Dr Subramaniam #MIC #Mohana #pemilihan party #pemuda #Putera #Puteri #Sivarraajh #wanita
;