Ketua Pembangkang, Pagoh, Marang tak pernah berdepan PM di Parlimen - Saifuddin Nasution

Hasimi Muhamad
Mac 18, 2023 17:22 MYT
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini memerli beberapa pemimpin utama Perikatan Nasional (PN), yang didakwa tidak pernah 'berdepan' dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini memerli beberapa pemimpin utama Perikatan Nasional (PN), yang didakwa tidak pernah 'berdepan' dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung PKR itu berkata, individu berkenaan ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; serta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional Khas 2023, Saifuddin Nasution mendakwa, ketiga-tiga individu berkenaan tidak pernah bangkit mengajukan soalan ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) sepanjang persidangan Parlimen berlangsung.
"Belum pernah dalam sejarah Parlimen, PM berdepan setiap hari Selasa selama 30 minit, kita panggil sesi PMQ. Ahli Parlimen boleh tanya apa sahaja soalan, dan Perdana Menteri akan jawab serta boleh tanya lagi dua soalan tambahan kepada Perdana Menteri.
"Saudara, sejak Presiden kita jadi Perdana Menteri, sejak PMQ berlangsung dalam Parlimen, saya nak sebut, tak ada sekali pun Ketua Pembangkang (Hamzah) berdepan PM... tiada sekali pun Pagoh (Muhyiddin) berdepan dengan Perdana Menteri... tiada sekali pun Marang (Abdul Hadi) berdepan dengan Perdana Menteri," katanya di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, sidang Parlimen sepatutnya digunakan oleh pembangkang untuk semak dan imbang, berdebat serta berhujah, dan bukan sekadar 'memantau' dasar kerajaan.
"Perdana Menteri 'tercegak' di kerusinya 30 minit, tanya saja apa soalan.... Saya tahu sebab tempat duduk saya di belakang beliau.
"Saya perhatikan sudah beberapa minggu, Ketua Pembangkang tak muncul... Pagoh entah ke mana, Marang juga tak kelihatan bayangnya.
"Di luar kamu hero, kamu jaguh bela agama dan bangsa. Tempat berdebat dalam Parlimen, kamu tak sanggup bertarung sebagai anak jantan," katanya lagi.
Terdahulu, Dewan Rakyat membenarkan sesi PMQ dilaksanakan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 bermula 13 Februari lalu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata untuk permulaan, sesi itu akan dilaksanakan secara ujian rintis pada setiap Selasa.
Sesi PMQ itu memerlukan pindaan pada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sebelum digazetkan sebagai sesi tetap sidang Dewan Rakyat.
#pemimpin Perikatan Nasional #Saifuddin Nasution Ismail #Setiausaha Agung PKR #Muhyiddin Yassin
;