Ketua Muda Pejuang umum letak jawatan serta-merta
Sinar Harian
Disember 11, 2022 12:36 MYT
Disember 11, 2022 12:36 MYT
SHAH ALAM: Ketua Muda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Abu Hafiz Salleh Huddin mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Abu Hafiz berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk rasa bertanggungjawab atas prestasi parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
"Semoga kepimpinan baharu sayap pemuda mampu mengemudi Pejuang Muda dengan lebih baik dan cemerlang.
"Jutaan terima kasih dan penghargaan diucapkan buat Tun Dr Mahathir Mohamad, kepimpinan utama parti dan teman-teman kepimpinan Pejuang Muda Malaysia atas kepercayaan bagi menggalas amanah sebagai Ketua Pejuang Muda Malaysia.
"Pengalaman yang digarap selama ini akan dijadikan ilmu yang sangat berguna, Insya-ALLAH," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada PRU15, Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal mendapat sebarang kerusi meskipun meletakkan calon untuk bersaing di 125 kerusi.
Sebelum ini media melaporkan, Dr Mahathir menjadi antara 369 calon kerusi Parlimen yang hilang wang deposit selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira. -- Sinar Harian