Ketua Menteri Sarawak yang baharu dijangka angkat sumpah hari ini
Astro Awani
Januari 13, 2017 12:21 MYT
Januari 13, 2017 12:21 MYT
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam di Astana di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, pada jam 4 petang hari ini.
Pelantikan Abang Johari yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu adalah susulan pemergian Tan Sri Adenan Satem ke rahmatullah pada Rabu (11 Januari).
PBB dilaporkan sebulat suara menyokong Abang Johari untuk mengisi jawatan tersebut, menurut kata Naib Presiden parti berkenaan Datuk Awang Tengah Ali Hasan.
Terdahulu, nama Abang Johari disebut-sebut bakal menggantikan Adenan selain nama Awang Tengah dan seorang lagi Naib Presiden parti berkenaan, Datuk Amar Douglas Uggah.
Berdasarkan kelaziman, ketua menteri dipilih dari kalangan pemimpin kanan PBB, iaitu parti terbesar di negeri Sarawak.