Ketua Menteri Melayu Pulau Pinang bukan perkauman
Hasmi Hashim
September 26, 2017 18:19 MYT
September 26, 2017 18:19 MYT
Melayu adalah minoriti di Pulau Pinang.
Maka secara tradisi, kerusi ketua menteri Pulau Pinang seakan telah diwajibkan khusus kepada seorang Cina.
Sejak Merdeka sudah begitu.
Tetapi apakah sejak merdeka, apa yang disebut sebagai “cita-cita kesatuan kebangsaan” benar-benar wujud atau sesungguhnya ada perjanjian setan yang tak dapat dirungkai?
Dalam PRU lalu, pengundi Melayu yang berjumlah 34.7 peratus kalau dicampur dengan India (10.8 peratus) pun masih tidak dapat menandingi jumlah pengundi Cina (53.9 peratus) di Pulau Pinang.
Saya amat faham mengapa panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), M Periasamy menegaskan secara tradisinya kerusi ketua menteri Pulau Pinang adalah untuk seorang pemimpin Cina. Tak kiralah dari DAP, GERAKAN atau MCA. Calon Melayu dari parti apa pun akan ditolak.
Sebagai pemikir JASA, beliau mungkin terlalu jauh untuk memahami ertinya Reformasi dan apa itu “politik baru”. Namun malanglah kalau M Periasamy juga tidak menyedari bagaimana negara ini terbentuk di atas satu sifat tolak ansur antara kaum. Terutama selepas 13 Mei 1969.
Contoh yang paling ketara ialah di banyak kerusi Parlimen yang pengundi bukan Melayu di bawah 40-35 peratus, tetapi calon-calon di kerusi itu tetap diberikan kepada bukan Melayu. Walaupun populasi Melayu melebihi sehingga 65-70 peratus, tetapi orang Melayu mengizin bahkan memenangkan calon bukan Melayu.
Keadaan ini bukan hanya berlaku di kalangan parti pembangkang, tetapi juga di dalam BN.
Kenyataan Profesor Ulung Shamsul Amri Baharuddin semalam juga menunjukkan bagaimana pengundi India hanya lapan peratus tetapi mempunyai wakil rakyat lebh 15 peratus. Sudah tentu tanpa sifat tolak ansur yang kental daripada orang Melayu, sangat sedikit kerusi parlimen yang boleh ditandingi oleh calon Cina atau India.
Sebaliknya kerusi yang sudah tentu majoritinya adalah kaum Cina, misalnya, mustahil pula akan diletakkan calon Melayu. Dari parti apa pun. Kita boleh lihat di Gelang Patah di mana pengundi Cina kini melebihi 52 peratus.
Dalam tujuan merebut semula kerusi itu, BN sendiri dalam PRU akan datang dikatakan akan meletakkan calon MCA bagi menentang Lim Kit Siang dari DAP.
Ada puluhan lagi kerusi yang nampaknya mustahil akan kembali kepada calon Melayu seperti di parlimen Seputeh, Bukit Bintang, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Segamat dan banyak lagi.
Apakah perkara ini boleh dibiarkan berpanjangan dan orang Melayu terus ditekan untuk menerimanya sebagai saksama? Berdasarkan realiti ini jugalah, apabila wujud gesaan untuk mengangkat ketua menteri Melayu di Pulau Pinang, maka dengan mudah pula gesaan itu dianggap sebagai ‘perkauman’.
Maknanya, populasi pengundi bukan segala-galanya untuk membentuk Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Ada pertimbangan sifat tolak-ansur, kebijaksanaan selain menyedari realiti sejarah kaum-kaum di Malaysia.
Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Sifat beri dan ambil perlu wujud di kalangan semua kaum dan bukan hanya tanggungjawab mutlak orang Melayu dan Pribumi sahaja.
Saya menduga bahawa GERAKAN atau pun MCA tidak akan mampu mengangkat ketua menteri Melayu pertama di Pulau Pinang.
Gaya politik BN memang sudah begitu—dalam kata lain menyerahkan Pulau Pinang selamanya kepada pentadbiran satu kaum terpilih sahaja. Walaupun Umno pernah mempunyai kerusi lebih, tetapi jawatan ketua menteri Pulau Pinang tetap diberikan kepada seorang Cina GERAKAN.
Corak politik Pakatan Harapan harus berbeza dengan corak politik BN. Buktinya di Perak selepas PRU 2008. Ketika itu, majoriti kerusi DUN di tangan DAP, tetapi atas sifat tolak-ansur, jawatan menteri besar diberikan kepada seorang calon Melayu dari PAS.
Begitu juga di Selangor sekarang, majoriti DUN juga dimiliki DAP, tetapi seorang MB Melayu dari PKR yang diangkat. Terbaru DAP juga dikatakan akan bertanding dua kerusi DUN di Kelantan; sesuatu yang mungkin tak terfikir oleh sesiapa pun sebelum ini!
Kata orang, inilah hebatnya Pakatan Harapan terutama di kalangan pemimpin Melayunya. Mereka sanggup memberikan apa sahaja yang ada di samping tidak pula mahu mengambil apa-apa dari pihak lain.
Nampaknya merit dan kewibawaan tidak terpakai kepada kepimpinan Melayu—satu amalan mudah yang begitu lama bersarang di dalam BN. Seperti pada buku cerita kanak-kanak, ketiga-tiga watak Abu, Ah Chong dan Mutu wajib diwujudkan untuk menunjukkan betapa harmoninya negara ini.
Politik bukan buku cerita. Politik dan kepimpinan mempunyai peranan yang jauh lebih rumit. Aneh sekali kalau Pakatan Harapan turut sama mahu meneruskan amalan pecah dan perintah ala-penjajah yang sekian lama tanpa pernah dipersoal oleh BN.
Kalau hendak seribu daya. Kalau tak mahu seribu dalih.
* Hasmi Hashim merupakan seorang pemerhati politik dan penulis lirik dengan nama pena, Budi Hekayat
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#Barisan Nasional
#Bukit Bintang
#Ketua Menteri
#Lim Kit Siang
#Melayu
#menteri
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#pembangkang
#PKR