Ketua Menteri Melaka: Mungkin Jailani lupa dia 'tebuk atap' dulu - Akmal Saleh
Shuhada Abdul Kadir
Mac 30, 2023 18:16 MYT
Mac 30, 2023 18:16 MYT
AYER KEROH: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar kenyataan seorang Exco Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang mendakwa negeri itu bakal mempunyai ketua menteri ‘pintu belakang’.
Muhamad Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah negeri sebaliknya berkata, mungkin Muhammad Jailani terlupa apa yang pernah dilakukannya sebelum ini sehingga ketua menteri ketika itu hilang majoriti dan jawatan.
Tegasnya, tiada isu ‘kerajaan tebuk atap’ kerana kekosongan jawatan ketua menteri telah berlaku dan perubahan ini hanya merupakan transisi peralihan kuasa.
“Wakil rakyat yang tebuk atap ini macam Datuk Muhammad Jailani masa melompat menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu dan kini (hanya) transisi peralihan kuasa setelah kekosongan jawatan ketua menteri berlaku.
“Dulu masa zaman dia melompat menyebabkan ketua menteri hilang jawatan dan kali ini, bukan kerajaan tebuk atap sebab kekosongan telah berlaku apabila Datuk Seri Sulaiman meletakkan jawatan,” katanya ketika dihubung Astro AWANI.
Sebelum ini Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, secara lantang mendakwa Melaka akan mempunyai ketua menteri ‘pintu belakang’ di sebalik penggantian Ketua Menteri sedia ada.
“Ini spesis baharu kelahiran UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.
Pada Mac 2020 lalu, Muhammad Jailani antara empat wakil rakyat PH di Melaka yang bertindak menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN) selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari sehingga kerajaan PH Melaka tumbang.
Sulaiman kemudian diangkat menjadi Ketua Menteri Melaka ke-12 menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka ke-11 pada 11 Mac 2018 selepas Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka sebagai Ketua Menteri.
Mengulas lanjut, Muhammad Akmal yang juga ADUN Merlimau berkata semua pihak sepatutnya menghormati keputusan Sulaiman yang juga ADUN Lendu.
Katanya, kepimpinan UMNO Melaka sudah berubah dan tentunya kepimpinan kerajaan negeri akan turut berlaku perubahan.
“Kita menghormati keputusan yang telah dibuat Datuk Seri Sulaiman (dan) apabila kekosongan berlaku kita tidak boleh biarkan jawatan ketua itu kosong tanpa pengganti.
“Jadi kita serahkan pada parti untuk memilih mana-mana wakil rakyat yang dirasakan layak untuk menjadi ketua menteri,” katanya.
Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka akan diadakan Jumaat ini.
SUK negeri, Datuk Zaidi Johari dalam kenyataannya berkata, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sudah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.