Ketua Bahagian UMNO hadiri perjumpaan khas bersama Presiden, PM

Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 4, 2022 14:31 MYT
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan antara yang hadir pada pertemuan khas hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Hampir kesemua Ketua Bahagian serta Ketua sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian UMNO mula membanjiri Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini petang ini bagi menghadiri satu perjumpaan khas yang diadakan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ia sekali gus mengesahkan surat jemputan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan yang tular beberapa hari lalu.
[TERKINI] Perjumpaan khas pemimpin UMNO bahagian bersama Presiden, PM
Pertemuan tersebut dipercayai ada kaitan berkenaan keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO beberapa hari lalu.
Dalam mesyuarat tersebut, MKT UMNO bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
Dijangkakan semua 191 Ketua Bahagian selain 746 Ketua-Ketua Bahagian sayap UMNO membabit Wanita, Pemuda dan Puteri menghadiri perjumpaan khas yang diadakan ini.
#pertemuan khas #Zahid Hamidi #ismail sabri yaakob #PRU15
;