Ketidakstabilan politik akibat perpecahan Melayu - Annuar Musa
Hasimi Muhamad
Oktober 15, 2020 16:43 MYT
Oktober 15, 2020 16:43 MYT
PUTRAJAYA: Ketidakstabilan politik yang melanda negara ketika ini disifatkan akibat perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha segera perlu dilakukan ke arah mengelakkan perpecahan tersebut.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, keutamaan sekarang adalah untuk membela nasib rakyat yang sedang bergelut menghadapi ancaman krisis kesihatan.
“Saya memikirkan soal parti-parti orang Melayu saya rasa ke arah PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15), orang Melayu dan bukan Melayu mahu melihat orang Melayu bersatu kerana orang Melayu adalah teras kepada politik nasional.
"Bagi saya kalau Melayu tiada ‘trust’ (kepercayaan) kepada politik dan kalau orang Melayu bersatu padu, (sudah tentu) kawan-kawan kita yang bukan Melayu dapat bersama-sama dengan kita untuk mensejahterakan negara.
“Tetapi kalau orang Melayu sebagai satu teras gagal untuk bersatu padu keseluruhan poltik negara tidak stabil.
"Saya faham ketidakstabilan politik yang berlaku ketika ini adalah kerana perpecahan orang Melayu sebelum PRU14," katanya dalam Sidang Media Pengumuman Khas Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 di Menara Sri Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemas kini di laman Facebooknya semalam berhubung seruan agar Umno, Bersatu dan Pas kembali ke “drawing board” politik supaya dapat melakar sesuatu lebih baik untuk Malaysia.
Selain itu, katanya, politik negara dan perpaduan Melayu perlu diperkuat dan ketiga-tiga parti itu bertanggungjawab untuk memastikan perkara itu.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau sendiri dalam keadaan kebingungan selepas melihat perebutan kuasa kini seolah-oleh menjadi agenda utama dalam segelintir pemimpin politik.
"Malangnya mereka yang diberikan kepercayaan yang besar oleh rakyat dalam poltik lebih ghairah memikirkan kedudukan dan jawatan.
"Saya merasakan banyak daripada kita sibuk memikirkan kepada siapa nak bagi jawatan; kepada siapa patut ada kuasa, dan sebagainya.
"Kurang sekali kita duduk membuncangkan agenda kepentingan orang Melayu, agenda hidup orang miskin, agenda rakyat Malaysia, agenda tentang menghadapi masalah COVID-19, kesusahan rakyat dan sebagainya," katanya.