Ketiadaan jawatan TPM sesuatu yang janggal - UMNO Perak
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 30, 2020 18:55 MYT
Oktober 30, 2020 18:55 MYT
LENGGONG: UMNO Perak berpandangan bahawa ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) di dalam pentadbiran negara adalah sesuatu yang janggal.
Bagaimanapun, mereka akur bahawa jawatan itu tidak terdapat di dalam Perlembagaan negara, sebaliknya sekadar jawatan pentadbiran yang dilantik oleh Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung pada malam Khamis tidak membincangkan secara khusus jawatan tersebut.
"Pada kita memang jawatan TPM itu jawatan pentadbiran, kita faham yang itu, cuma pada pendapat saya, sekiranya Perdana Menteri hendak mewujudkan jawatan itu, apalah salahnya jawatan itu diberikan kepada UMNO sebagai parti yang dominan.
"Tetapi itu bukanlah satu tuntutan, tapi itulah benda yang sepatutnya berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Lenggong, pada Jumaat.
Menurutnya, apa yang berlaku di dalam mesyuarat khas itu tidak seperti yang digembar-gembukan oleh media, khususnya media sosial.
Katanya, UMNO membuat membuat keputusan secara rasional dan tidak mahu bermain politik, sebaliknya lebih fokus kepada kebajikan rakyat.
#UMNO Perak
#Pengerusi UMNO Perak
#Saarani Mohamad
#Majlis Tertinggi UMNO
#Timbalan Perdana Menteri
#TPM
#janggal