Keterbukaan pandangan perlu diraikan dalam parti - Shahril Hamdan
Hasimi Muhamad
Mac 29, 2019 11:01 MYT
Mac 29, 2019 11:01 MYT
Meletakkan muka baharu dalam sesebuah parti tidak akan menyuntik kesegaran dalam parti, sebaliknya apa yang perlu dilakukan adalah menekankan aspek keterbukaan dalam meraikan pandangan dan kritikan.
Demikian ditegaskan oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Mengakui bahawa tidak semua pemimpin dalam blok kerajaan dan pembangkang adalah ‘sebulu’, Shahril berkata jika benar UMNO mahukan kesegaran, parti itu perlu berubah dari segi corak pertadbiran lama.
Katanya, akar ideologi parti adalah sama tetapi ia perlu dilihat bagaimana pendirian itu boleh dimekarkan mengikut perspektif masing-masing termasuk menekankan aspek disiplin dan pandangan.
“Kita sentiasa menguruskan dua perkara dalam satu sudut (disiplin parti dan pandangan). Kita ada disiplin parti kalau tak ada disiplin parti tak payah masuk parti buat parti sendiri
“Dalam sudut berbeza yang kita ada pegangan politik individu jadi macam mana nak menguruskan kedua-dua tersebut, mencari titik keseimbangan yang terbaik antara dua spektrum,” katanya dalam Buletin Khas Astro AWANI Menjelang Setahun Malaysia Baharu, hari ini.
Tegasnya, sekiranya kerajaan mahupun UMNO tetap dengan tradisi lama maka cerminan Malaysia Baharu gagal untuk dilaksanakan.
“Saya punya pandangan adalah Barisan Nasional selama ini amat-amat menitik-beratkan disiplin parti. Bukan kata saya tidak bersetuju, tapi ada masalahnya kita perlu meneliti dan masuk lebih seimbang dalam meraikan pandangan dalam parti.
“Seandai tidak meraikan kepelbagaian, seandainya semua kena ikut skrip sama, kena ikut cara yang dah ditetapkan, tradisi itu tidak semua mencerminkan Malaysia Baharu dalam erti kata lain ada juga mencerminkan politik lama.
“Seandainya UMNO benar-benar mahu segar bukan kira individu tetapi persepktif parti itu perlu dibenarkan dan diraikan sebenar-benarnya, meraikan kepelbagaian dalam idea dan pendekatan politik,” katanya.
#Barisan Nasional
#Malaysia Baharu
#Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
#pembangkang
#Pemuda UMNO
#politik
#Shahrir Sufian Hamdan
#UMNO