Ketegangan politik UMNO-Bersatu, PAS kini di 'persimpangan dilema'?
Fareez Azman
Mac 6, 2021 16:33 MYT
Mac 6, 2021 16:33 MYT
KUALA LUMPUR: Pas kini berdepan dengan cabaran paling besar menguruskan ketegangan hubungan politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, parti itu kini berada di 'persimpangan dilema' untuk membuat pilihan dalam meneruskan kerjasama politik sama ada dengan Bersatu atau UMNO.
"Keputusan strategik ini perlu diputuskan kerana Pas berada di 'persimpangan dilema', sama ada untuk memihak kepada UMNO mengangkat Piagam Muafakat Nasional (MN) ketika menjadi pembangkang dahulu atau menelusuri apa yang dikatakan kerjasama dengan parti kerajaan iaitu Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu.
"Dua langkah ini mempunyai pro dan kontra tertentu, ada kelebihan dan juga kekurangan. Kelebihan MN sekiranya PAS kesal akan impak dan naratif grand design bersama MN (dan tidak menyokong UMNO), sebenarnya bagi kerusi di lingkaran Melayu, mereka boleh menguasai kawasan berkenaan," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Sabtu.
Jelasnya lagi, jika Pas mengambil keputusan untuk terus bersama Bersatu dan meninggalkan UMNO, mereka mungkin berhadapan beberapa kekurangan terutama melibatkan jentera akar umbi.
"Sekiranya gabungan itu diadakan dengan Perikatan Nasional (PN) kelebihannya bersama parti kerajaan dan Pas memainkan peranan penting kerana ada sedikit kekurangan Bersatu, yang mana (parti itu) bergantung kepada jentera serta kekuatan akar umbi dimiliki Pas yang lebih sistematik," jelasnya lagi.
Malah jika Pas gagal menguruskan ketegangan politik antara dua rakan sekutunya itu tambah Hisomuddin, dikhuatiri berlaku pertembungan sesama mereka dalam PRU15 kelak.
"Keduanya itu mempunyai kelebihan dan kekurangan yang mana kalau mereka gagal menguruskan dengan baik atau berlakunya tindakan tidak dapat dihalang sebagai contoh UMNO memilih bertanding dan mencabar PN ini adalah perkara perlu diambil kira PN dan Pas," katanya lagi.
Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 4 Mac lalu mengesahkan parti itu tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu sewaktu PRU15.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat MKT di Janda Baik, 19 Februari lepas, seperti yang dilaporkan beberapa media.
Hanya berselang beberapa hari, Bersatu dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pula membuat keputusan memandang serius akan surat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 26 Februari lalu.
Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kandungan surat itu mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di antara UMNO, Bersatu dan PN di masa hadapan.
#Zahid Hamidi
#Ahmad Maslan
#Hamzah Zainuddin
#PPBM
#UMNO
#PAS
#pilihan raya umum
#politik
#kerjasama politik
#Muafakat Nasional
#Perikatan Nasional
#ILHAM Centre
#persimpangan dilema