'Kesetiaan kita ada batasnya' - Azmin

Rahimah Abdullah
Julai 21, 2019 00:37 MYT
Mohamed Azmin menitiskan air mata ketika mengaminkan doa selepas menunaikan Solat Hajat dan bacaan Yaasiin pada Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran di Shah Alam pada Ahad. - Gambar fail/BERNAMA
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan beliau akan terus bangkit melawan serangan terhadap dirinya yang terus terpalit dengan kontroversi melibatkan video intim.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, ketika ini beliau berpendirian bahawa kesetiaan ada batasannya dan bertegas hanya akan setia kepada keadilan dan kebenaran.
Justeru, beliau sanggup berdepan dengan sesiapa sahaja termasuk individu yang mungkin pernah dikenalinya.
“Malam ini saya bertekad dan berjanji apa pun serangan yang dilemparkan kepada saya, saya tetap bangkit. Biarkan saya sebatang kara, biarkan saya berdepan dengan manusia yang pernah saya kenali sebelum ini. Tetapi kesetiaan kita ada batasnya.
“Saya setia kepada kebenaran dan keadilan. Dan saya akan tetap perjuangkan keadilan dan kebenaran, bukan untuk keluarga saya, tetapi saya mahu rakyat Malaysia, umat Islam dan Orang Melayu mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya semasa berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang hadir pada Majlis Doa Kesyukuran untuk Datuk Seri Azmin Ali di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini pada malam Ahad.
BACA: Azmin sedia bekerjasama dengan Anwar
BACA: Tidak hadir temurapat: 'Saya di luar negara' - Azmin
Azmin pada masa sama bersyukur kerana siasatan polis menunjukkan beliau tidak terlibat dalam video intim yang didakwa miripnya.
“Lima minggu saya diaibkan. Saya difitnah, anak, isteri, cucu saya, kakak dan abang saya dan keluarga saya terpaksa menempuh gelombang fitnah ini dengan penuh kesabararan.
“Saya bersyukur rakyat mendoakan saya. Alhamdulillah pihak berkuasa telah menjalankan siasatan. Saya sendiri ditemubual polis, forensik, dan doktor selama lima jam. Saya kerjasama penuh sebab saya yakin saya tidak bersalah. Hari ini polis buktikan saya bukanlah pelaku dalam fitnah itu,” ujarnya lagi.
Malah katanya ada ‘tangan ghaib’ yang menjadi dalang dalam usaha menjatuhkan karier politiknya.
“Ketua Polis Negara sendiri mengesahkan ada tangan-tangan ghaib yang nilainya ratusan ribu dan jutaan Ringgit untuk menjatuhkan saya. Ayuh, saya tak perlukan manusia seperti ini untuk memimpin kita,” kata Azmin.
#Azmin Ali #kesetiaan ada batas #Ketua Polis Negara #Menteri Hal Ehwal Ekonomi #tangan ghaib #Timbalan Presiden PKR
;