Kesepakatan PH, BN dalam Kerajaan Perpaduan Melaka diharap hingga ke akar umbi - Adly

Bernama
April 8, 2023 19:12 MYT
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berharap kesepakatan dalam kalangan kepimpinan PH dan BN di bawah Kerajaan Perpaduan di negeri itu tidak terhad pada peringkat Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri sahaja. - Gambar fail/BERNAMA
ALOR GAJAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari berharap kesepakatan dalam kalangan kepimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) di bawah Kerajaan Perpaduan di negeri itu tidak terhad pada peringkat Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri sahaja.
Beliau yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan negeri berkata kesepakatan itu perlu diperluaskan sehingga ke peringkat akar umbi melibatkan penyokong kedua-dua parti itu dalam semua aspek pembangunan, pentadbiran, kebajikan dan ekonomi di negeri itu.
"Kalau perpaduan dan kesepakatan dalam masyarakat di Melaka tanpa mengira ideologi politik boleh berlaku, kita bukan sahaja boleh bina kestabilan politik tetapi pada masa sama kita boleh memberikan sesuatu yang terbaik kepada rakyat.
"PH memang menyokong usaha pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri seperti yang berlaku di peringkat nasional kerana Kerajaan Perpaduan merupakan model politik masa hadapan yang dilihat dapat membangunkan negeri dan negara ke arah yang lebih baik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian ketika ditemui selepas Program Memasak dan Pengagihan Bubur Lambuk dengan Kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah melibatkan 1,500 bekas bubur.
-- BERNAMA
#Kesepakatan PH BN #Adly Zahari #Kerajaan Perpaduan #Melaka