'Kesemua ADUN BN perlu sokong kepimpinan Onn Hafiz'

Sinar Harian
Mac 22, 2022 07:00 MYT
Mohd Hairi (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada wakil artis veteran, Nur Melati Mohd Shukor pada Majlis Sambutan Hari Seniman Peringkat Negeri Johor di sini pada Selasa. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Kesemua 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) perlu sebulat suara menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang kini sedang menyenaraikan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco).
Ketua Pemuda UMNO Johor yang juga ADUN Larkin, Mohd Hairi Mad Sah berkata, sokongan itu amat penting kepada Onn Hafiz untuk membawa negeri ini ke arah lebih gemilang dengan pelbagai perancangan pembangunan akan dilaksanakan.
"Rakyat Johor terutama ADUN BN perlu mendukung usaha Onn Hafiz bergerak ke hadapan agar Ikhtiar BN yang dibuat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat direalisasikan," katanya selepas Majlis Sambutan Hari Seniman Peringkat Negeri Johor di sini pada Selasa.
Pada majlis berkenaan, Mohd Hairi menyerahkan sumbangan kepada wakil artis veteran, Nur Melati Mohd Shukor.
Beberapa seniman veteran hadir ke majlis berkenaan termasuk Aida Agil, Bandi Amuk, S Sahlan dan A Rahman Onn.
Dalam pada itu, Mohd Hairi ketika ditanya mengenai namanya dicalonkan sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor sepertimana senarai Exco Johor yang kini tular, beliau menyatakan tidak mengetahui perkara itu.
Bagaimanapun, sekiranya dilantik sebagai Exco, Mohd Hairi berjanji akan bekerja dengan bersungguh- sungguh.
"Sekiranya saya dicalonkan sebagai Exco Johor, saya akan bekerja bersungguh-sungguh. Kalau tiada pun nama saya disenaraikan saya harus terus terima apa juga kehendak Menteri Besar.
"Saya juga sedia isytiharkan harta sebagaimana yang dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada setiap bakal Exco yang akan dilantik," katanya.
Mohd Hairi seterusnya berharap agar barisan Exco Johor yang dikemukakan kelak mempunyai kesinambungan antara yang muda dan orang lama.
Sebelum itu tular senarai 10 ADUN yang bakal menyertai Exco Johor terdiri daripada ADUN muka baharu dalam kalangan orang muda.
Antaranya, ADUN Larkin, Mohd Hairi Mohd Shah, ADUN Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri, ADUN Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid dan ADUN Bukit Pasir, Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Selain itu, turut tersenarai ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon; ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin; ADUN Tenang, Haslinda Salleh; ADUN Senggarang Mohd Yusla Ismail, ADUN Tenggaroh, K Raven dan ADUN Pemanis, Anuar Abdul Manap.
*Berita asal di Sinar Harian
#UMNO Johor #onn hafiz ghazi #Mohd Hairi Mad Sah #Ikhtiar BN
;