Kesemua 56 ADUN Johor dipanggil menghadap Sultan Johor
Hakim Rahman
Februari 26, 2020 14:51 MYT
Februari 26, 2020 14:51 MYT
Semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini diminta menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada jam 2 petang, Rabu.
Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang, ketika dihubungi mengesahkan menerima notis jemputan menghadap berkenaan.
"Betul, tetapi saya tidak dapat hadir kerana berada di luar kawasan dan saya difahamkan ramai juga tidak dapat hadir berikutan notis singkat dikeluarkan jam 11 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse turut mengesahkan perkara itu namun tidak mahu mengulas lanjut.
Pihak media difahamkan pertemuan yang berlangsung di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan di sini itu adalah bagi mencari persetujuan berhubung pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
Pada Selasa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad mendakwa telah mendapat persetujuan untuk mewujudkan kerajaan campuran bersama BN, Pas, PKR, Amanah dan BERSATU.
Bagaimanapun, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan menyatakan bahawa kenyataan tersebut hanyalah satu bentuk provokasi untuk memecah-belahkan Pakatan Harapan.
Malah katanya, sembilan ADUN Amanah di Johor telah menandatangani akuan bersumpah untuk kekal dalam Pakatan Harapan.
Agihan kerusi DUN Johor ketika ini terdiri daripada UMNO (14), DAP (14), BERSATU (11), Amanah (sembilan), PKR (lima), MIC (dua) dan Pas (satu).
#Amanah
#Barisan Nasional
#Bersatu
#DAP
#Mahathir letak jawatan
#MIC
#PKR
#Sultan Ibrahim
#Sultan Johor
#Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah