Kesejahteraan rakyat lebih utama berbanding isu perkauman sempit - Anwar

Astro Awani
Jun 25, 2022 00:01 MYT
Anwar mengingatkan agar rakyat yang bakal menunaikan tanggngjawab dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar tidak menyanjung pihak-pihak yang terlibat dalam salahguna kuasa hingga menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit. - Gambar fail/FB
MORIB: Pakatan Harapan (PH) sentiasa mengutamakan isu kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat dalam perjuangan mereka.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan isu kesejahteraan rakyat lebih penting berbanding membawa isu perkauman sempit.
Anwar berkata, naratif PH dalam mendekati dan berkempen jauh berbeza dengan parti-parti lain yang sering membawa isu perkauman dan cuba dilihat berjuang untuk kepentingan satu-satu bangsa.
"Sikit-sikit kaum, kalau betul tolong Melayu saya sokong. Melayu mana kamu tolong? Tanya Melayu belakang ni mana yang dapat tolong (pertolongan)?
"Yang ditolong itu beberapa kerat Tan Sri atau Datuk, yang dah diberi bermacam-macam kontrak bukan Melayu yang di kampung-kampung.
"Tetapi bila berkempen, nak selamat orang Melayu, Melayu mana nak diselamatkan? Ini lah perbezaannya dengan Pakatan Harapan yang bercakap soal keadilan.
"Naratif kita berbeza kerana Pakatan Harapan bercakap soal kemanusiaan, kita bercakap tentang mengangkat darjat manusia," katanya.
Dalam ceramahnya juga Anwar mengingatkan agar rakyat yang bakal menunaikan tanggngjawab dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar tidak menyanjung pihak-pihak yang terlibat dalam salah guna kuasa hingga menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit.
Katanya, rakyat seharusnya menjaga maruah diri dan menolak pemimpin dan parti yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.
"Ada orang yang nyata salah guna berbilion ringgit masih disanjung oleh sebahagian kita. Apa maruah kita? Apa jenis manusia yang ada akhlak yang kita bicarakan? Apa agama kita? Apa nilai hidup kita?
"Apa lagi orang Islam, atau orang Hindu, orang Buddha atau orang Kristian, di mana ajaran itu nak mendewakan orang yang telah merompak berbilion ringgit?
"Ada isteri, siapa tak sayang isteri? Tetapi bukan mengambil wang negara untuk membeli-belian ratusan juta ringgit.
"Hilang bukan ratus juta tetapi bilion ringgit. Keluar di mahkamah Malaysia, mahkamah New York, harta di Amerika, harta di London, masih orang kita belum bangkit untuk membantah," katanya lagi.
Anwar berkata demikian dalam satu ceramah Jelajah Harapan Selangor yang diadakan di Dataran Pantai Morib pada Sabtu malam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Saari dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Adly Zahari antara yang hadir pada siri jelajah tersebut.
#Pakatan Harapan #Anwar Ibrahim #Mohamad Sabu #Anthony Loke #Amirudin Shari #Adly Zahari #Jelajah Harapan Selangor #PRU15
;