Kesejagatan politik asas manifesto bangsa menjelang PRU14 - Ahmad Zahid

Wan Syamsul Amly, Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Disember 5, 2017 22:00 MYT
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini. - Foto BERNAMA
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggariskan tujuh perkara untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Tegasnya, kesejagatan politik menjadi formula utama UMNO menang dua pertiga kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14.
Beliau berkata, antara platform kekuatan parti yang tidak pernah mengamalkan politik sempit sejak ia ditubuhkan.
Jelasnya, ia juga fakta yang menjadi asas UMNO antara parti politik yang kekal memerintah dan tidak pernah tewas dalam pilihan raya sejak 1955.
"Inilah kesatuan politik matang dan dinamik yang UMNO amalkan dalam membina bangsa UMNO yang sentiasa berjiwa besar dan mewarisi formula kesejagatan politik. Natijahnya prinsip Rukun Negara yang kita tatang selama ini merupakan kunci kedinamikan politik UMNO," katanya.
Kesejagatan politik menjadi satu daripada tujuh manifesto bangsa yang diumum Ahmad Zahid semasa merasmikan persidangan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, UMNO akan sentiasa menjadi lembayung ekonomi maqasid syariah yang membuka peluang kepada rakyat negara ini merebut peluang perniagaan baharu yang ditawarkan.
Jelasnya lagi, sistem pendidikan juga akan disediakan selari dengan keperluan 'Pendidikan Digital' (Digital Schooling).
"Ia merupakan inisiatif baharu yang mendedahkan warga masa depan untuk memperolehi ilmu sesuai pada zamannya.
"Ia juga membolehkan pelajar tempatan menjadi pelajar global selain memudahkan proses pendidikan jarak jauh untuk menambah baik kelayakan serta pengalaman untuk membantu kenaikan pangkat serta gaji," ujarnya.
Tambahnya, jaminan lembayung keselamatan negara juga akan dipelihara sebagai kunci dan teras kepada kemantapan politik serta keharmonian seluruh masyarakat.
Katanya lagi, UMNO juga memberi perhatian kepada lembayung antarabangsa yang menekankan peranan negara sebagai peneraju kepada permasalahan dunia.
"Kita tidak mahu hanya menjadi jaguh kampung mahupun pengikut pinggiran sistem dunia. Kita tidak mahu menjadi bangsa terpinggir," jelasnya.
Ahmad Zahid turut meminta kesetiaan tidak berbelah bahagi Bangsa Melayu kepada Raja.
"Jika ia derhaka maka hukumnya adalah bunuh. Namun begitu Raja pula tidak boleh memalukan rakyatnya. Andai perjanjian tersebut diingkari maka akan diterbalikkan oleh 'Yang Maha Esa' bumbung rumah ke tanah dan tiangnya ke atas.
"Sebenarnya inilah rahsia yang tersembunyi hingga membolehkan kita muncul sebagai bangsa yang bermartabat hingga mampu membina kejayan sesebuah Empayar Melayu Islam Champa dan Kerajaan Melayu Islam Melaka yang penuh gilang-gemilang suatu ketika dahulu," katanya.
Sementara itu, beliau juga mahu ahli UMNO yakin bahawa agama adalah pengikat kepada manifesto bangsa.
Tegasnya, bangsa yang meletakkan agama sebagai asas peradaban akan kekal bermaruah selagi mereka mempertahankan agamanya dan selagi itulah peradaban akan terjunjung dan terunggul.
"Hanya peradaban mampu memperbetulkan kerosakan ummah. Wariskanlah peradaban cemerlang kepada anak cucu kita," katanya.
Katanya, misi UMNO adalah menang besar pada PRU kali ini dengan syarat tiada yang berkecil hati, merajuk, membawa diri, khianat dan sabotaj parti.
Ujarnya, perbuatan tersebut hanya akan melumpuhkan gerak kerja parti secara keseluruhannya.
#Dewan Undangan Negeri #pemuda #Pemuda UMNO #Perhimpunan Agung UMNO 2017 #PRU #Puteri UMNO #UMNO #Wanita UMNO #Zahid Hamidi
;