Kesannya pahit kepada Melayu jika UMNO terlucut kuasa - Syed Ali

Astro Awani
Oktober 12, 2015 13:37 MYT
SYED ALI: Kesannya pahit kepada Melayu jika UMNO terlucut kuasa - Gambar fail
Pemimpin UMNO perlu lebih telus dan bertanggungjawab memulihara kekuatan parti pada saat berdepan krisis keyakinan dan tekanan ekoran pelbagai isu semasa.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, realitinya UMNO kini tidak lagi berada dalam keadaan selesa dan usaha perlu dilakukan untuk menguatkan parti.
"Ia termasuk menuntut keikhlasan dan kebertanggungjawaban pemimpin di setiap peringkat.
"Saya bimbang UMNO akan mengalami penurunan sokongan orang Melayu di tahap kritikal jika sesama pemimpin tertinggi parti saling bergeseran sesama sendiri.
"Kita akui UMNO berada dalam situasi sukar, berdepan pelbagai tekanan dan ancaman. Oleh sebab itu, pemimpin yang memegang amanah perlu bertanggungjawab dan jujur mencari jalan penyelasaian," tegasnya dalam catatan terbaru di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Tambah Syed Ali, UMNO tidak akan kekal selama-lamanya menjadi institusi atau payung kepada orang Melayu dan keadaan ini akan menjadi lebih parah jika ada permusuhan dalaman.
"Kita berbangga dengan kekuatan UMNO. Parti ini kuat dan relevan untuk orang Melayu, tetapi sampai bila?
"Lanskap politik Malaysia telah berubah sejajar dengan perubahan masa di samping kehadiran generasi muda yang lebih kritis dan radikal.
"Kita tidak boleh lagi bercakap seperti 10 atau 20 puluh tahun lalu, kini cabaran dan saingan UMNO amat getir dan mencabar," jelasnya.
Katanya, perubahan sosio-politik dan ledakan teknologi maklumat telah mengubah segala-galanya.
Bagaimapaun tegasnya, mempertahankan kekuatan dan kredibilti UMNO tetap menjadi kewajipan pemimpin dan ahli-ahli parti.
"Untuk mengajak ahli UMNO terutama di peringkat akar umbi mempertahankan kekuatan parti bukan lagi sesuatu lagi yang mudah.
"Jika diambil kira persekitaran politik semasa menunjukkan UMNO tidak lagi berada dalam zon selesa," ujarnya.
Oleh sebab itu jelas Syed Ali, pemimpin UMNO sewajarnya kembali duduk semeja merumuskan jalan penyelesaian supaya keyakinan rakyat kembali pulih.
"UMNO harus dikembalikan kekuatan dan reputasinya supaya kekal dihormati oleh sekutu politiknya dalam komponen Barisan Nasional (BN)," katanya.
Syed Ali turut melahirkan rasa kecewa kerana mutakhir ini ada di kalangan pemimpin BN tidak lagi menghormati UMNO.
"Kita kena jujur untuk tidak menolak dakwaan UMNO kini berada dalam keadaan yang amat sukar.
"Kesukaran itu akan menjadi lebih teruk menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika usaha untuk mengatasinya tidak dilakukan mulai sekarang.
"Kita (UMNO) mahu menang PRU, mahu membentuk kerajaan dengan majoriti di Parlimen, kita mahu meneruskan kecemerlangan perhidmatan kepada rakyat," jelasnya.
Bagaimanapun Syed Ali melahirkan rasa khuatir, UMNO termasuk BN akan berada pada ranjau yang amat getir dalam sejarah pilihan raya.
"Kita tidak mahu UMNO terlucut kuasa kerana kesannya amat pahit kepada rakyat, orang Melayu dan negara ini.
"Kerana itu saya merayu pemimpin tertinggi UMNO supaya kembali kepada semangat musyawarah dan berpegang kepada asas perjuangan parti.
"Kita selalu kata berkhidmat untuk kepentingan rakyat, jadi demi kepentingan itu, semua pihak sewajarnya duduk semeja mencari formula baru untuk menguatkan parti," tegasnya.
Tetapi katanya, ia perlu terlebih dahulu mengetepikan sentimen kebencian dan kepentingan peribadi.
"Pemimpin tertinggi parti juga perlu turun padang memberitahu rakyat secara terbuka berkait isu yang berbangkit dan perjelaskan sebarang kekeliruan berhubung beberapa isu yang mencetuskan kesangsian rakyat," ujarnya.
Katanya lagi, pergolakan dan pertelagahan sesama pemimpin UMNO hari inisengaja diperbesarkan menerusi media sosial.
"Senario itu menjurus kepada keburukan sistem nilai dan keyakinan rakyat terhadap UMNO yang sengaja direka oleh pihak berkepentingan.
"Media sosial didalangi pembangkang mengambil peluang menyerang pemimpin UMNO dengan pelbagai persepsi supaya rakyat membenci kerajaan dan pemimpinnya," tegasnya.
Pembangkang katanya, tidak akan berdiam diri untuk mengeksploitasi pelbagai isu yang boleh menjanjikan keuntungan politk kepada mereka.
"Pembangkang akan gunakan apa sahaja kaedah untuk menyerang UMNO termasuk menabur fitnah, tohmohan dan persepsi menerusi media sosial.
"Keadaan seperti menjadi seperti tidak terkawal apabila UMNO sendiri bersifat defensif," katanya.
#Melayu #PRU #Syed Ali Alhabshee #UMNO
;