Kesal gambar digunakan untuk kempen politik
Sinar Harian
April 18, 2018 11:39 MYT
April 18, 2018 11:39 MYT
Seorang pelajar yang gambarnya disunting untuk digunakan bagi tujuan kempen politik oleh pihak tidak bertanggungjawab menasihati pihak berkenaan agar menghentikan perbuatan itu.
Nurul Aida Azira Mohd Kassim, 19, berkata, dia kesal apabila gambarnya disunting untuk tujuan poster kempen politik sedangkan dirinya tidak terlibat dengan mana-mana parti politik apatah lagi belum mencapai umur minimum untuk mengundi.
Katanya, pada peringkat awal, dia tidak ambil pusing berkenaan isu itu namun setelah semakin tular ia telah memberi kesan terhadap dirinya.
"Sebenarnya gambar asal Aida dah padam sebulan sebelum kes ini berlaku dan dapat tahu dariapada kawan-kawan berkaitan isu ini. Mula-mula Aida tak ambil kisah sangat, tapi semakin hari makin ramai hantar dan tanya termasuk pensyarah dan Aida mula rasa terganggu," katanya.
Aida yang juga model tudung sambilan berkata, setakat ini dia telah mengambil tindakan dengan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis.
"Bila isu ini semakin tular, ramai kawan-kawan yang sarankan saya buat laporan polis dan saya kemudiannya buat laporan polis. Setakat ini pihak polis kata mereka serahkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan buat masa ini saya difahamkan masih dalam siasatan.
"Setakat ini saya tidak ada rancangan untuk tindakan lanjut, cuma menunggu siasatan laporan polis dan SKMM tamat," katanya kepada Sinar Harian.
Anak kelahiran Klang itu turut menasihati pihak di luar sana agar lebih berhati-hati dan menggunakan saluran yang betul dalam menggunakan bahan-bahan di media sosial apatah lagi untuk tujuan kempen politik.
"Kalau gunakan bahan di media sosial tanpa kebenaran bagi saya dah dikira mencuri. Jika mahu gunakan gambar-gambar macam ini sepatutnya perlu kebenaran pemilik sebelum digunakan.
"Lagi pun isu ini berkaitan politik malah Aida sendiri pun belum boleh mengundi, jadi bagi Aida memang tak patutlah berlaku. Sepatutnya mereka lebih faham tentang perkara ini dan buat tindakan yang matang bukannya sesuka hati tanpa fikirkan kesan kepada pihak lain.
"Aida tak tuduh siapa-siapa, cuma Aida nak cakap kena tengok dulu tindakan kita samada betul atau tidak sebelum buat sesuatu lebih-lebih lagi perkara yang mengaitkan kesan kepada masyarakat. Saya harap perkara ini tak akan berulang lagi semua pihak perlu lebih berhati-hati selepas ini," katanya.
#Gambar
#kempen
#Klang
#laporan polis
#MalaysiaMemilih
#media sosial
#model
#pelajar
#politik
#salah guna
#SKMM
#sunting
#Tular