Kesabaran, kematangan Perdana Menteri senjata baik hadapi musuh politik
Bernama
Ogos 27, 2016 22:50 MYT
Ogos 27, 2016 22:50 MYT
Kesabaran dan kematangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai 'senjata terbaik' untuk menangani tohmahan dan serangan musuh politik.
Ketua UMNO Bahagian Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail berkata selaku presiden parti keramat, Najib melalui jalan sukar akibat niat jahat musuh-musuh politik yang menggunakan pelbagai isu untuk menjatuhkan beliau.
"Sikap matang, tenang, keterbukaan dan kesabaran yang dimiliki presiden (Najib) amat luar biasa dalam menangkis segala tohmahan, fitnah dan keangkuhan musuh politik.
"Namun, presiden masih mampu meneruskan perjuangan menguruskan UMNO dan pentadbiran negara serta terus memperjuang nasib rakyat," katanya semasa berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar di sini hari ini yang dirasmikan oleh Najib.
Abdul Manan, yang pernah menjadi setiausaha sulit kepada Najib, berkata keperibadian perdana menteri itu juga menyebabkan kesemua 80 cawangan UMNO di bawah Parlimen Paya Besar berdiri teguh dan menyokong pimpinan presiden.
"Anggota UMNO Paya Besar dengan tulus ikhlas berazam dan berikrar berdiri teguh di belakang presiden dalam senang, susah, senyum serta tangisan.
"Kami berdoa supaya apa jua cabaran, sengketa dan politik kotor akan berakhir dengan kejayaan," katanya yang disambut dengan sorakan lebih 10,000 hadirin.