Kes Zahid terpulang kepada mahkamah, DAP komited jayakan agenda negara - Anthony Loke

Firdaus Azil
Disember 3, 2022 11:09 MYT
Loke (dua, kiri) ditemui pada sidang media di ibu pejabat parti itu di ibu negara hari ini.- Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: DAP hanya akan menumpukan agenda kepada pembangunan dan pengurusan negara, terutamanya melalui penyertaan empat pemimpinnya dalam Jemaah Kabinet, kata Setiausaha Agung parti, Anthony Loke Siew Fook.
Biarpun mendapat kritikan daripada penyokong tentang prinsip DAP dalam memerangi rasuah dan penyelewengan kuasa, namun Ahli Parlimen Seremban itu berkata, kes peribadi mana-mana menteri adalah terpulang kepada bidang kuasa mahkamah.
Tegasnya lagi, pelantikan mana-mana pemimpin, termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah prerogatif Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan DAP sentiasa menghormati keputusan seperti itu.
“(Kes Ahmad Zahid) itu terpulang kepada mahkamah. Kita hanya bincangkan agenda negara, bukan kes masing-masing, ia tak akan disentuh, dibincang kes peribadi masing masing, tetapi hanya agenda untuk rakyat dan negara. Itu pendirian kita.
“Ini satu pendekatan politik baharu yang sama-sama kena belajar, bagaimana pupuk kerjasama antara satu sama lain. Sebab keputusan PRU menunjukkan kerajaan tidak boleh ditubuhkan tanpa kerjasama dengan parti lain, jadi ini usaha yang sama-sama mesti kita lakukan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di ibu negara hari ini.
DIARI 100 HARI KABINET KERAJAAN PERPADUAN PM ANWAR IBRAHIM
Tambah Loke, kerajaan ini merupakan kerajaan perpaduan, dan perbincangan bukan dengan Ahmad Zahid semata-mata, tetapi dengan Barisan Nasional sebagai sebahagian daripada kerajaan di bawah pentadbiran Anwar.
Pengumuman Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Jumaat telah mengakibatkan Pakatan Harapan dan DAP menghadapi kritikan masyarakat, khususnya dari akar umbi sendiri, kerana ia bertentang dengan agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa parti itu.
Dalam pada itu, Loke berkata, sokongan DAP terhadap Anwar tidak mempunyai sebarang syarat, termasuk jumlah jawatan atau komposisi dalam Kabinet.
“Kalau Anwar berjaya, maksudnya Kerajaan Perpaduan ini berjaya, dan Malaysia akan berjaya. We have only one objective, one participation, that is to make sure, Anwar Ibrahim succeed in this government.
“Itu objektif penyertaan kita dalam kerajaan ini. We will do everything possible, segala yang boleh dan usaha bersungguh-sungguh, dalam mendokong kepimpinan beliau,” katanya lagi.
Loke berkata, kerajaan perpaduan ini merupakan model politik baru, dan ia tidak mungkin berjaya jika semua pihak tidak berlapang dada, dan mempunyai semangat ‘give and take’ dalam urusan pentadbiran negara.
#Kabinet Perpaduan #Zahid Hamidi #Anthony Loke Siew Fook #Anwar Ibrahim