Kes SRC: Keputusan mahkamah detik duka buat UMNO - Zahid
Astro Awani
Ogos 23, 2022 05:00 MYT
Ogos 23, 2022 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan kes penyelewengan dana bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai ‘detik duka buat UMNO’.
Presiden UMNO itu menerusi catatan di laman Facebooknya berkata, bagaimanapun parti itu tidak akan berputus asa dari segi perjuangannya.
“Kami berada di luar dan dalam mahkamah tadi turut berasa sangat hiba, ada yang sebak dan teresak-esak menangis dari hati yang luhur. Namun ini tidak bermakna kami berputus asa.
“Semoga DS Najib diberikan ketabahan dan kekuatan dalaman dalam menghadapi dugaan ini. Sebagai pejuang tulen tidak mudah beliau patah semangat dan berjuang terus berjuang.
“Kami percaya ada malam yang gelap pasti akan ada siang yang cerah. Masa akan menentukan segalanya,” tulis Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Ahmad Zahid berkata, semangat yang ditonjolkan oleh Najib tidak akan pudar dan perjuangan UMNO akan tetap segar.
“Kami percaya ada malam yang gelap pasti akan ada siang yang cerah. Masa akan menentukan segalanya,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengajak ahli UMNO agar bersolidariti bersama Najib serta bangkit untuk bersatu hati.
“Marilah kita terus bersama-sama bersolidariti. Susah dan senang DS Najib kita tetap bersama.
“Kita akan bertindak rasional terus akur dengan kehendak keputusan parti. Biro Politik akan diadakan dalam masa paling terdekat.
“Tiada pengkhianatan sesama kita! Kita tahu yang mana lawan dan kawan sebenar!” ujarnya lagi.