Kerusi PRU14: MyPPP sedia bincang dengan MIC

Bernama
Oktober 7, 2017 23:33 MYT
KAYVEAS: MyPPP bersedia mengadakan perbincangan dengan MIC berhubung pertukaran kerusi pada Pilihan Raya Umum K-14 (PRU14) akan datang. - Gambar fail
MyPPP bersedia mengadakan perbincangan dengan MIC berhubung pertukaran kerusi pada Pilihan Raya Umum K-14 (PRU14) akan datang, kata Presidennya Tan Sri M. Kayveas.
Beliau berkata sebagai parti yang mementingkan perpaduan dan semangat kerjasama dalam Barisan Nasional (BN), perbincangan secara terperinci dengan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam mengenai perkara berkenaan perlu dilakukan.
"Formula kongsi kuasa dalam BN perlu dilaksanakan bagi memastikan semua parti komponen BN mencapai kata sepakat untuk penentuan kerusi yang bakal ditandingi dalam PRU14, perlukan situasi menang-menang.
"Ini penting bagi memastikan BN menang dengan majoriti lebih besar pada PRU14...itu yang lebih utama ketika ini," katanya kepada Bernama selepas merasmikan pertandingan bola jaring Piala Tan Sri M Kayveas di Padang Besar Tanah Rata di sini, hari ini.
BACA: MIC nasihat Kayveas bertanding di Pagoh
BACA: M. Kayveas mahu bertanding di Cameron Highlands
Beliau mengulas kenyataan Dr Subramaniam yang sedia berbincang dengan parti komponen BN untuk bertukar kerusi namun tidak akan menukar hasrat MIC untuk mempertahankan sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu pada PRU13 lepas.
Kayveas yang juga Penasihat Kementerian Pengangkutan berkata bagaimanapun keputusan mengenai kerusi yang bakal ditandingi oleh calon BN terletak sepenuhnya kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kayveas telah beberapa kali memberi bayangan untuk bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands, yang merupakan tempat asalnya, dan kini disandang bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang memenanginya pada PRU13.
Pada PRU13, Kayveas bertanding atas tiket BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar di Perak tetapi kalah kepada Terence Naidu V. Raja daripada DAP.
-- BERNAMA
#G Palanivel #MIC #MyPPP #PRU14 #S Subramaniam
;