'Kerusi panas' Sabah: Faktor undi popular, faktor keluarga

Tan Su Lin
April 27, 2018 12:00 MYT
Menurut perkiraan Mohd Rahezzal, terdapat lapan kerusi yang disifatkan sebagai 'hotseat' di Sabah untuk PRU14. - Astro AWANI/Tan Su Lin
Di sebalik skrin komputernya, Mohd Rahezzal Syah Abdul Karim sedang melihat keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan ke-13 untuk membuat perbandingan.
Pada masa sama, jarinya laju menekan butang-butang kalkulator yang berada di sebelahnya.
Penulis mengakui berasa sedikit pelik, kenapa pula perlu kira-kira sampai begitu? Adakah wujud satu formula untuk menentukan parti mana yang bakal menang dalam PRU kali ini?
Pensyarah Sains Politik dan Dasar Awam UiTM Sabah itu meminta untuk memberinya beberapa minit lagi.
Selesai sudah perkiraannya, dia mengemukakan lapan kerusi yang disifatkan sebagai kerusi panas di Sabah untuk PRU14.
Jangkaan itu dibuat berdasarkan kiraan peratusan undi popular Barisan Nasional (BN) di kerusi-kerusi berkenaan.
Kerusi panas atau hot seat yang dimaksudkan ialah kerusi Parlimen Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Beaufort, Ranau, Keningau, Tenom dan Pensiangan.
Undi popular bagi BN di kawasan-kawasan tersebut ialah Keningau (44%), Pensiangan (45%), Kota Marudu (47%), Tenom (48%), Tuaran (48.2%), Beaufort (50%), Ranau (50.2%) dan Sepanggar (54%).
"Contohnya di Keningau, Pensiangan, Kota Marudu, Tenom dan Tuaran, undi popular BN di lima kawasan ini adalah kurang daripada 50 peratus. Mereka masih menang PRU13 tetapi disebabkan berlakunya pertandingan pelbagai penjuru. Kalau lihat majoriti kerusi-kerusi yang dimenang itu pun sebenarnya agak rendah.
"Berdasarkan data dan analisis sewaktu PRU13, tidak ada isu GST, kos sara hidup dan hak-hak Sabah yang panas seperti sekarang," kata Mohd Rahezzal.
"Kalau kita lihat dua perkara ini dan trend PRU lepas, kerusi-kerusi ini akan menjadi tumpuan parti pembangkang. Lima kerusi ini, mereka berpeluang untuk menang," jelasnya.
Lebih menarik, calon BN yang bakal bertanding termasuk dua menteri Kabinet, iaitu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air selaku pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di Kota Marudu, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi selaku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau di Tuaran.
Ditanya jika Parlimen Semporna juga tersenarai sebagai kerusi panas, Mohd Rahezzal berkata ia bukan hanya sengit tetapi sukar bagi BN, ekoran faktor undi popular Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tinggi pada PRU13.
Bagi menentang Mohd Shafie, BN mencalonkan Ketua Penerangan UMNO Semporna, Datuk Ramlee Marhaban.
Ramlee digandingkan dengan pasukan mantap UMNO iaitu Datuk Harman Mohammad di DUN Sulabayan manakala Datuk Seri Nasir Tun Sakaran dan Datuk Abd Razak Tun Sakaran masih-masing dicalonkan di DUN Senallang and Bugaya.
"Nasir dan Abd Razak adalah anak-anak kepada bekas ketua menteri Sabah, Tun Sakaran Dandai, yang juga bapa saudara kepada Mohd Shafie. Keluarga Tun Sakaran amat berpengarah dan dihormati oleh masyarakat tempatan," kata Mohd Rahezzal.
Namun, tambahnya, "Dalam PRU, apa sahaja boleh berlaku!"
#BN Sabah #hotseat #Keningau #kerusi panas #Kota Marudu #MalaysiaMemilih #Maximus Ongkili #Mohd Rahezzal Syah #Nasir Sakaran #Pensiangan #PRU14 #Razak Sakaran #Semporna #Shafie Apdal #Tenom #Tuaran #tun sakaran #UMNO Sabah #Wilfred Madius Tangau
;