Kerusi Masjid Tanah: Mas Ermieyati serah keputusan Presiden

Astro Awani
Januari 4, 2021 15:17 MYT
MAS ERMIEYATI: Kerusi Masjid Tanah pastinya komitmen yang sudah dicurahkan, namun semuanya saya pulangkan kepada pucuk pimpinan sebagai calon atau tidak. - Facebook@masermieyatisamsudin
KUALA LUMPUR: Keputusan mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah atau sebaliknya hanya akan ditentukan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Bersatu Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, mesyuarat parti pada Rabu ini mungkin merungkai isu kerusi Parlimen berkenaan.
"Saya masih belum dapat respons atau maklum balas. Saya baru mendapat maklumat mesyuarat akan diadakan pada Rabu ini dan mungkin ada sesuatu akan dimaklumkan dalam mesyuarat tersebut.
"Kerusi Masjid Tanah pastinya komitmen yang sudah dicurahkan, namun semuanya saya pulangkan kepada pucuk pimpinan sebagai calon atau tidak. Saya serahkan kepada Presiden Bersatu," katanya semasa dihubungi pada Isnin.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini bertegas meletakkan calon mewakili parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Masjid Tanah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, penting untuk parti itu mempertahankan kerusi yang dimenangi UMNO dan BN dalam PRU14.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen pada PRU15 akan datang.
Jelasnya, UMNO juga akan terus mengekalkan 55 kerusi yang dimenangi pada PRU yang lalu.
#Muhyiddin Yassin #Mas Ermieyati Samsudin #Parlimen #UMNO #calon #Politik Malaysia
;