Kerusi dikosong: DAP, UMNO takut? Empat ADUN Bersatu tidak pernah lompat parti - Wan Saiful
Umavathi Ramayah
Mac 6, 2023 18:28 MYT
Mac 6, 2023 18:28 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan Pulau Pinang meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu melambangkan ketakutan DAP dan UMNO terhadap kebangkitan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, DAP dan UMNO cuba menggunakan segala saluran yang ada untuk melumpuhkan kebangkitan rakyat di negeri itu.
Beliau menjelaskan, dua ADUN Bersatu yang diminta mengosongkan kerusi itu tidak pernah melompat parti, sebaliknya parti itu yang mengambil keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 2020.
Sementara dua lagi ADUN katanya, dipecat daripada PKR.
"Di peringkat Persekutuan, apabila seseorang dipecat atau apabila parti secara keseluruhannya keluar daripada sesuatu gabungan maka itu tidak dianggap sebagai lompat parti.
"Tapi peraturan di Pulau Pinang, ia tidak selari dengan semangat dan peraturan di peringkat Persekutuan, yang mana apabila dua ADUN PN di Pulau Pinang yang tidak pernah lompat parti dan mereka bertanding atas tiket Bersatu, kekal Bersatu tetapi Bersatu keluar dari PH dan dua lagi (ADUN) yang dipecat dari PKR, mereka juga tidak pernah lompat parti.
"Pemecatan dua yang kekal dalam parti Bersatu yang tidak pernah lompat parti dianggap sebagai lompat parti di Pulau Pinang," katanya dalam sidang media di Parlimen di sini, pada Isnin.
Wan Saiful yang kesal dengan tindakan kerajaan Pulau Pinang itu menyifatkan ia sebagai satu titik hitam dalam sejarah Pulau Pinang.
"Kerajaan DAP dan UMNO jelas mahu menghapuskan sebarang kemasukan semak dan imbang di Pulau Pinang agar mereka boleh bermaharajalela dan melakukan apa sahaja terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi," katanya lagi.
Persidangan DUN Pulau Pinang pada Isnin meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi diwakili ADUN Bersatu mengikut Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Speaker, Datuk Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai selepas selesai sesi perbahasan daripada semua ADUN yang mengambil bahagian dengan sokongan majoriti ADUN sebulat suara bersetuju meluluskan usul itu.
Choo Kiang meluluskan usul itu menerusi undian suara selepas semua ADUN yang hadir menyatakan 'ya' kedengaran lebih ramai dan kuat berbanding menyatakan 'tidak'.
Beliau mengumumkan senarai nama ADUN dan kerusi yang terbabit adalah ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Zulkifli Ibrahim (ADUN Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (ADUN Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (ADUN Telok Bahang).
Empat ADUN berkenaan pada 16 Disember lalu juga gagal memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar peruntukan mengikut Enakmen Antilompat Parti di negeri itu.