Kerusi dibaling, penyokong PKR cedera di kepala

Dewi Nur Harasha Alias
September 22, 2018 06:42 MYT
Pergaduhan tercetus apabila ahli PKR yang hadir pada sidang media itu membantah keputusan pemilihan di Pulau Pinang. - Foto BERNAMA
Seorang penyokong PKR cedera dibaling kerusi, dalam kekecohan yang berlaku sewaktu sidang media Jawatankuasa Pemilihan Parti PKR berlangsung di Seberang Jaya pada Sabtu.
Dalam insiden itu, lelaki berkenaan luka pada bahagian kepala apabila terkena kerusi yang dibaling sekumpulan lelaki di pintu masuk dewan berkenaan.
Pergaduhan itu tercetus apabila ahli PKR yang hadir pada sidang media itu menjerit dan membantah keputusan pemilihan di Pulau Pinang dan mengesa keputusan dibatalkan selepas berlaku masalah dalam proses pemilihan di beberapa pusat di negeri terbabit.
Kumpulan itu kemudiannya cuba merempuh barisan kepimpinan JPP sehingga berlaku kekecohan dan pergaduhan antara mereka sebelum ia berlarutan hingga ke luar dewan.
Namun pergaduhan itu berjaya dileraikan dan suasana kembali tenang.
BACA: PKR Pulau Pinang mahu parti beri penjelasan
Pada sidang media itu, Setiausaha JPP PKR, Ismail Yusop mengumumkan keputusan rasmi pemilihan di Kedah dibatalkan berikutan hanya enam daripada 15 cabang di Kedah dapat menjalankan proses pengundian.
Bagaimanapun, keputusan pemilihan bagi 13 cabang di Pulau Pinang diterima dan tidak berubah.
Katanya, pemilihan bagi Perak dan Perlis yang dijadualkan pada Ahad ditangguhkan.
BACA: Pemilihan PKR cabang Padang Serai kecoh
Pemilihan di Negeri Sembilan, Melaka juga ditangguhkan sehingga selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 30 September.
Dalam pada itu, Ismail sekali lagi menegaskan bahawa insiden yang berlaku pada proses pengundian hari ini bukanlah disebabkan oleh masalah teknikal dari sistem e-voting kerana sepanjang proses pengundian di Pulau Pinang berjalan dengan lancar.
Namun pihaknya memgenalpasti beberapa faktor menjadi punca berlakunya insiden antaranya masalah dari segi kefahaman sistem dan proses pemggunaa e-voting dikalangan pengawas dan pengundi.
BACA: Manuty cadang guna semula sistem manual
Selain itu, terdapat kekurangan sokongan teknikal ditempat pengundian bagi membantu petugas.
#Baling #cedera #Ismail Yusop #JPP #kecoh #kerusi #Pemilihan Parti PKR #PKR #Seberang Jaya
;