Kerusi Cameron Highlands kekal milik MIC - Dr Subramaniam
Bernama
Oktober 18, 2017 23:11 MYT
Oktober 18, 2017 23:11 MYT
Kerusi Parlimen Cameron Highlands kekal milik MIC, kata Presidennya Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.
Beliau berkata dakwaan Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP) Tan Sri M. Kayveas bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands akan dikembalikan kepada parti itu adalah tidak benar sama sekali.
“Perdana Menteri (yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak) sendiri telah memaklumkan kepada saya bahawa kerusi tersebut adalah milik MIC dan tidak akan berubah kepada parti lain,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Deepavali di kediamannya di Lorong Ujong Pasir, di sini, malam ini.
Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata demikian apabila diminta mengulas dakwaan Kayveas bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands akan diserahkan kepada MyPPP berdasarkan janji bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2000.
Presiden MIC itu berkata Najib tetap dengan pandangan bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah milik MIC dan ia dipersetujui oleh parti komponen BN yang lain.
Dr Subramaniam berkata dakwaan Kayveas bahawa kerusi Parlimen itu adalah milik MyPPP mengikut faktor sejarah adalah tidak tepat kerana sejarah berubah-ubah.
–- BERNAMA
#Barisan Nasional
#Cameron Highlands
#kerusi Parlimen
#M Kayveas
#Mahathir Mohamad
#MIC
#MyPPP
#Najib Razak
#S Subramaniam