Kerohanian, intelektual, emosional elemen penting bawa perubahan di Kelantan - TPM

Bernama
April 22, 2017 07:49 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Makan Malam Gelombang Merah Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) 2017 di ibu negara malam tadi. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa kerohanian, intelektual dan emosional merupakan tiga elemen penting bagi melakukan perubahan di Kelantan.
Beliau berkata ketiga-tiga elemen itu penting untuk mewujudkan satu gelombang perubahan di negeri pantai timur itu melalui gerakan besar-besaran dalam mendekati hati rakyat akar umbi.
"Dalam mengunjurkan sesuatu gelombang, ia memerlukan cetusan hati dan minda. Ramai menganjurkan agar kecerdikan dicantumkan dengan emosional. Dan sanubari dicantumkan dengan daya keintelektualan yang tinggi. Tetapi lebih seimbang kalau ada unsur kerohanian," katanya ketika berucap pada Malam Gelombang Merah Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) di Menara Berkembar Bank Rakyat di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, beliau meminta HIMSAK sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menghimpunkan cendekiawan dan ilmuan dari Kelantan, dihidupkan di peringkat akar umbi untuk turut sama menyumbang kepada perubahan di Kelantan, yang sudah tiga dekad berada di bawah kepimpinan pembangkang.
Katanya warga HIMSAK dan seluruh rakyat Kelantan juga perlu mengetepikan semua perbezaan dan bersatu hati demi melakukan perubahan di Kelantan.
Sambil memuji HIMSAK yang mampu bertahan sejak 10 tahun dahulu, Ahmad Zahid juga menyeru negeri-negeri lain agar mencontohi pertubuhan itu.
Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada HIMSAK bagi membantu pertubuhan itu menjalankan aktiviti-aktivitinya.
Pada majlis itu, timbalan perdana menteri menyampaikan Anugerah Tokoh Anak Kelantan Terbilang HIMSAK 2017 kepada Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed merangkap Penaung HIMSAK, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa serta Presiden HIMSAK Datuk Mohd Faizal Daud.
Malam Gelombang Merah HIMSAK 2017 diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-10 HIMSAK. -- BERNAMA
#himsak #Kelantan #Timbalan Perdana Menteri #Zahid Hamidi
;