Kerk Chee Yee hasrat bawa reformasi dalam DUN Melaka
Bernama
Ogos 1, 2023 09:00 MYT
Ogos 1, 2023 09:00 MYT
MELAKA: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kerk Chee Yee berhasrat untuk membawa reformasi dalam institusi legislatif tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh itu berkata beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan supaya persidangan DUN dapat ditambah baik selepas ini.
"DUN bukan satu tempat untuk wakil rakyat berbahas atau bertanyakan soalan semata-mata malah ia merupakan satu ruang dan platform untuk membawa aspirasi rakyat.
"Ada banyak idea yang saya ingin bawa dalam konteks mereformasikan badan legislatif ini," katanya ketika ditemui pemberita di luar sidang DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada Isnin.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai idea untuk mereformasikan DUN Melaka itu.
Mengulas pertanyaan adakah pelantikannya akan memperkukuh kerajaan Perpaduan di Melaka, beliau berkata ia merupakan satu lagi langkah diambil antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk tujuan itu.
"Dalam beberapa bulan yang lalu, bila berlaku pembentukan kerajaan Perpaduan di Melaka sudah ada Exco dan Timbalan Exco yang dilantik dalam kalangan ADUN PH.
"(Pelantikan) saya ini merupakan satu lagi langkah...bukan kata untuk memperkukuh kerajaan Perpaduan tapi ia sendiri menjelaskan perpaduan dalam kerajaan negeri," katanya.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada sidang DUN hari ini mencadangkan usul melantik Kerk sebagai Timbalan Speaker sebelum cadangan tersebut diluluskan dengan 24 ADUN menyokong, dua berkecuali dan dua tidak hadir.
-- BERNAMA