'Kerjasama Zahid-Anwar': Ini masa sesuai Presiden UMNO bersih imej - Armand Azha
Firdaus Azil
Jun 26, 2021 17:35 MYT
Jun 26, 2021 17:35 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu segera menafikan dakwaan demi dakwaan yang dibangkitkan beberapa pemimpin kanan parti itu terhadap beliau, terutamanya tentang ‘kerjasama’ dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, ini merupakan masa yang paling sesuai untuk Ahmad Zahid membersihkan nama baiknya, selepas persepsi negatif wujud ekoran dakwaan tersebut.
Beliau berkata, kenyataan beberapa pemimpin termasuk Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin terhadap Ahmad Zahid, tentang kerjasama dengan Anwar, lebih kepada persoalan yang harus dijawab.
“(Masa) ini adalah satu platform terbaik buat Presiden UMNO memberikan penjelasan dan penerangan terhadap apa yang ditanya oleh kedua-dua kepimpinan UMNO tersebut.
"Ini boleh menjadi satu 'turning point’ bagi diri presiden untuk pastikan tiada (lagi) presepsi negatif pada beliau, dan (sekali gus) terus membersihkan nama beliau,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Presiden UMNO patut dikenakan tindakan - Datuk Seri Shahidan Kassim
Terdahulu, Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, mendakwa majoriti Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah hilang kepercayaan terhadap Ahmad Zahid selaku Presiden dan Pengerusi gabungan parti BN.
Bekas Menteri Pelancongan itu menegaskan Ahmad Zahid perlu segera meletak jawatan dan memberi laluan kepada pemimpin lain untuk menerajui parti politik itu.
Selain itu, Nazri juga mengakui telah mengumpul akuan bersumpah (SD) dari 25 orang Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN, bagi memberi mandat kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai wakil parti itu sewaktu diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara beberapa minggu lepas.
Dalam pada itu, Armand Azha berkata, keputusan MKT UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti, selewat-lewatnya 2023, adalah demi memberi keutamaan kepada isu kepentingan rakyat, terutamanya dalam menangani pandemik COVID-19.
“Pemilihan dianjak kerana kepimpinan UMNO berasakan harus berikan keutamaa dalam isu kepentingan rakyat terutama dalam menangani Pandemik COVID-19, dan apa yang akan dilaksanakan pada pasca COVID-19 terutamanya dari segi kebajikan rakyat dan ekonomi negara.
“Ini adalah keutamaan kepimpinan dan saya secara peribadi telah menyuarakan cadangan ini (dalam Mesyuarat MKT),” katanya lagi.
#Zahid Hamidi
#Anwar Ibrahim
#Armand Azha
#jajaran baharu
#kerjasama politik
#Nazri Aziz
#Barisan Nasional
#UMNO
#Yang di-Pertuan Agong
#Hishammuddin Hussein
#Majlis Kerja Tertinggi UMNO
#COVID-19