'Kerjasama Warisan-PBS hanya andaian penyokong'

Sinar Harian
Mei 18, 2021 12:50 MYT
Azis berkata isu itu timbul selepas temu ramah menerusi satu forum melibatkan Datuk Darell Leiking dan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai panel. -Gambar fail
KOTA KINABALU: Kerjasama antara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang hangat diperkatakan baru-baru ini hanyalah andaian daripada penyokong kedua-dua pihak.
Ketua Wira Warisan, Datuk Azis Jamman berkata isu itu timbul selepas temu ramah menerusi satu forum melibatkan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai panel.
"Dalam forum itu, moderator bertanya adakah berlaku kemungkinan Warisan dengan UMNO mempunyai bekerjasama. Datuk Bung memberi komen ketika itu mengatakan politik ini hidup, sebarang kebarangkalian boleh berlaku.
"Begitu juga Datuk Darell ada menyebut bahawa dalam politik ini apa-apa kebarangkalian boleh berlaku. Jadi itu memulakan tercetusnya hingga menyebabkan kononnya berlaku perbincangan antara Warisan dengan UMNO.
"Berkisarkan forum itu, satu lagi forum Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama media diadakan dan apabila ditanya berhubung kebarangkalian kerjasama antara Warisan dan UMNO, beliau selaku presiden parti melontarkan cadangannya, bahawa jika diberi pilihan dia berminat untuk bekerjasama dengan PBS kerana sentimen parti tempatan yang memperjuangkan benda yang sama, hak dan kepentingan rakyat Sabah.
"Lontaran daripada kata-kata itu, maka penyokong di kedua-dua pihak membuat andaian dan gambaran bahawa terdapat satu gerakan kerjasama antara PBS dengan Warisan," katanya menjelaskan situasi tercetusnya khabar angin bahawa kononnya Warisan bergabung dengan parti tempatan untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada forum Bicara Minda: Bolehkah Kerajaan Bertukar Ketika Darurat yang dilakukan secara langsung di akaun Facebook rasminya, pada malam Isnin.
Bagaimanapun, Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut bersetuju dengan pandangan Bung Moktar bahawa banyak kebarangkalian boleh berlaku dalam politik.
"Secara peribadi, saya setuju apa yang disebut Datuk Bung bahawa politik ini hidup. Banyak kebarangkalian berlaku, dia boleh bertukar mengikut masa dan akhirnya yang menjadi pertimbangan kita selaku pemimpin dan apa yang dinantikan oleh rakyat adalah asas kepada perjuangan kita.
"Hari ini kita bercerita tentang hak dan kepentingan Sabah dan kalau kita meletakkan ego kita, meletakkan soal politik menjadi keutamaan dan meletakkan kepentingan Sabah sebagai perkara kedua, inilah yang menyebabkan Sabah ini terlalu sukar untuk diselesaikan.
"Banyak isu yang sepatutnya tidak berlaku di Sabah seperti isu kemajuan, pendidikan, pendatang asing tanpa izin (PATI), banyak isu-isu yang sewajarnya kita dapat selesaikan jika kita bersatu dan saya nampak ada peluang di hadapan," katanya.
Sehubungan itu, beliau sebagai pemimpin muda dalam Warisan bersetuju jika semua pihak meletakkan kepentingan politik dan ego membatasi kepentingan negeri Sabah.
"Sebab itu saya bersetuju dengan Mohd Shafie, tetapi sudah tentu kita tidak memaksa, jangan pula ada yang mengatakan kita terhegeh-hegeh kita mahu jadi kerajaan, mahu berkuasa, ini bukan disebabkan kuasa," katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung tajuk forum itu, Azis menyatakan, peralihan kuasa kerajaan bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong di mana ketika ini proklamasi darurat masih berkuat kuasa.
"Menyentuh adakah kerajaan boleh bertukar, sudah tentu tidak. Ia bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong, jika Agong membenarkan maka boleh berlaku peralihan kuasa.
"Jika Agong memperkenankan agar boleh dibuka Dewan Undangan Negeri (DUN) atau boleh dilaksanakan persidangan Parlimen, maka peralihan kuasa, perubahan kerajaan itu boleh dilakukan dan kalau tidak ada diperkenankan, jawapannya sudah tentu tiada (peralihan kuasa)," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian: 'Kerjasama Warisan-PBS hanya andaian penyokong'
#Azis Jamman #Darell Leiking #Bung Moktar Radin #Shafie Apdal #Warisan #khabar angin #GERAKAN #kerjasama parti #PBS #Parti Warisan Sabah
;