Kerjasama UMNO-Pas: Sayap Wanita ketepi pandangan negatif, sinis

Bernama
September 13, 2019 23:33 MYT
Sayap wanita UMNO dan PAS tidak akan ambil pusing dengan pandangan negatif dan sinis pihak yang mahu melihat kerjasama dua parti itu gagal. Foto: Astro AWANI/ Shahir Omar
Sayap wanita UMNO dan PAS tidak akan ambil pusing dengan pandangan negatif dan sinis pihak yang mahu melihat kerjasama dua parti itu gagal.
Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad berkata sebaliknya penyatuan tersebut akan diteruskan kerana ia menawarkan keharmonian dan perpaduan di negara ini.
"Kita menawarkan keharmonian penyatuan dan perpaduan, tanpa mengenepikan bangsa-bangsa serta kita sentiasa meraikan kepelbagaian.
"Kita juga mahu membuktikan kita pembangkang yang berkaliber, tidak pernah buat kacau sebaliknya menyeru kepada perpaduan," katanya pada sidang media bersama sayap wanita UMNO dan PAS sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Salleh berkata ahli PAS dan UMNO tidak perlu rasa gundah gelana kerana penyatuan tersebut merupakan penyatuan berprinsip dan dilakukan mengikut ketetapan Allah.
Katanya tiada yang pelik berkenaan penyatuan UMNO-PAS kerana ia telah lama berlaku sewaktu menuntut kemerdekaan dahulu.
"PAS dan UMNO dah macam adik-beradik, dulu bergaduh, sekarang sudah berbaik semula...kita satu akidah, satu bangsa kita berkongsi dalam banyak hal biasa dalam adik-beradik," katanya.
Menjawab persoalan adakah PAS tidak bimbang dikhianati UMNO, Nuridah berkata yang utama pada masa ini ialah survival Islam sendiri.
"Jika kamu berserah kepada Allah dan apa yang PAS buat sekarang tidak salah di sisi sunnah, membujur lalu melintang patah PAS akan redah bersama rakan sekutu kita," katanya.
Himpunan dua hari itu bakal menyaksikan pemasyhuran piagam kerjasama Pas-UMNO yang akan dimeterai esok.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Noraini Ahmad #Himpunan Penyatuan Ummah #HPU914 #negatif #PAS #penyatuan #sinis #UMNO #Wanita UMNO
;